KUANTAN - Prestasi kutipan hasil negeri Pahang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berada pada landasan yang baik dan menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan hasil tersebut secara langsung membantu meningkatkan kutipan hasil negeri dan sekali gus memperkukuhkan kedudukan kewangan kerajaan negeri.
"Di kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, khususnya kepada pembayar cukai yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berharap agar semua pihak yang berkaitan dapat terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan menjelaskan cukai serta tunggakan hasil kepada kerajaan negeri.
Menurutnya, harapan ini turut ditujukan kepada semua pihak yang mempunyai kepentingan serta penglibatan dalam pengurusan dan penggunaan tanah di negeri ini agar sentiasa memastikan segala kewajipan yang berkaitan dengan hasil negeri diselesaikan dengan sewajarnya.
Wan Rosdy menambah, peningkatan kutipan hasil negeri ini amat penting kerana hasil yang diperoleh akan dikembalikan semula kepada rakyat.
"Ia melalui pelbagai inisiatif pembangunan, program kebajikan serta penyediaan kemudahan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Pahang.
"Kerajaan negeri akan terus komited memastikan pengurusan hasil negeri diperkasakan demi menjamin kemakmuran serta kesejahteraan rakyat Pahang secara berterusan," jelas beliau.


