Kutipan sisa domestik Ramadan di Kuala Lumpur naik 23 peratus - Alam Flora

LocalEnvironment
16 Mar 2026 • 3:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Makanan berlebihan dijual di bazar Ramadan merupakan antara penyumbang tertinggi kepada peningkatan kutipan sisa

KUALA LUMPUR - Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) merekodkan kutipan sisa domestik sebanyak 45,108 tan metrik di Kuala Lumpur, 2,793 tan matrik di Putrajaya dan 13,619 tan metrik Pahang bagi tempoh 1 hingga 25 Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, berbanding tempoh sama pada 2025, kutipan sisa domestik di Kuala Lumpur meningkat kira-kira 23 peratus berbanding 36,798 tan metrik, manakala Putrajaya kekal stabil dengan sedikit penurunan sekitar dua peratus daripada 2,861 tan metrik.

Menurutnya, Pahang pula mencatatkan penurunan sekitar 28 peratus berbanding 18,841 tan metrik pada tahun sebelumnya.

"Makanan tidak dihabiskan atau berlebihan yang dijual di bazar-bazar Ramadan merupakan antara penyumbang tertinggi kepada peningkatan kutipan sisa selain daripada plastik bungkusan dan polisterin.

"Melalui kempen Tapau Elak Sisa, kami menggalakkan orang ramai membawa bekas makanan sendiri atau menggunakan tiffin (mangkuk tingkat). Usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan sisa, malah memupuk amalan penggunaan semula yang lebih lestari," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, berdasarkan statistik dari tahun 2024 hingga 2026, trend kutipan sisa pepejal sepanjang bulan Ramadan menunjukkan peningkatan yang ketara, terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur.

Bagaimanapun katanya, dianggarkan hingga 60 peratus sisa makanan sebenarnya boleh dielakkan sekiranya orang ramai mengamalkan perancangan pembelian serta kaedah penyimpanan makanan yang betul.

"Justeru, kerjasama daripada semua pihak tetap diperlukan untuk membantu menjaga kebersihan di kawasan masing-masing.

"Sebagai contoh, sisa makanan dan sisa kitar semula perlu diasingkan, diikat dengan kemas dalam beg plastik yang sesuai dan diletakkan di tepi tong pada hari kutipan untuk barangan kitar semula selaras dengan program pengasingan sisa daripada punca oleh kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, Alam Flora mengajak orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan yang bersesuaian boleh diambil, tambahnya.