MySaveFood elak pembaziran makanan

LocalEnvironment
11 Mar 2026 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Peniaga menyerahkan makanan yang tidak terjual kepada sukarelawan program MySaveFood @ Bazar Ramadan di bazar Ramadan Masjid Setia Diraja Mukah, Sarawak. - Gambar kecil (Mohamad Amirrul)

SHAH ALAM – Lebihan makanan bernilai RM685,208 yang berjaya diselamatkan menerusi program MySaveFood @ Bazar Ramadan setakat 9 Mac mampu menampung perbelanjaan 652 keluarga miskin selama tiga bulan, jika setiap isi rumah itu membelanjakan RM350 sebulan untuk barangan dapur.

Setiausaha Agung Pemuda GEMA Malaysia, Mohamad Amirrul Mukminin berkata, jenis makanan paling banyak ialah minuman iaitu sebanyak 31,860 kilogram (kg) diikuti kuih-muih (9,786kg), nasi berlauk (3,600 kg) manakala nasi, mi dan bihun goreng (2,932 kg).

“Lebihan lain yang diselamatkan termasuk makanan berkuah seperti laksa dan mi kari (1,378kg), bakar dan gorengan (799kg), makanan barat (481kg), hidangan sampingan seperti martabak dan roti john (2,311kg) serta lain-lain makanan (867kg).

“Keseluruhan jumlah lebihan makanan yang diselamatkan ini secara tidak langsung berjaya mengelakkan pelepasan kira-kira 103,636kg karbon dioksida ke alam sekitar,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Mohamad Amirrul, pihaknya menjangkakan jumlah tersebut boleh mencecah antara 60,000 hingga 70,000kg menjelang penghujung Ramadan.

Beliau memaklumkan, makanan yang dikutip akan diagihkan dalam tempoh dua jam atau sebelum jam 11 malam bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti terjamin.

Menurutnya, program yang memasuki tahun ke-10 penganjuran itu memberi fokus kepada usaha menyelamatkan makanan yang masih elok, sekali gus mengelakkan ia berakhir di tapak pelupusan sampah.

“Sukarelawan belia akan membuat kutipan di tapak bazar Ramadan selepas waktu berbuka, kemudian dikumpulkan lebihan makanan yang masih elok melalui empat langkah iaitu kutip, timbang, pembungkusan semula sebelum diagihkan.

“Setakat ini, pelajar institusi pengajian tinggi merupakan kumpulan paling ramai menerima bantuan, selain gelandangan, penghuni perumahan kos rendah dan badan kebajikan,” ujarnya.

Mohamad Amirrul berkata, dalam konteks MySaveFood Ramadan, makanan yang diselamatkan ialah makanan tidak terjual, bukannya sisa.

Jelasnya lagi, pihaknya akan mengembalikan semula makanan tersebut ke komuniti atau pihak yang memerlukan dalam tempoh yang singkat.