SHAH ALAM - Pihak luar tidak sepatutnya membuat kutipan zakat merentasi sempadan negeri tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa agama.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi khutbah Jumaat berkata, ia kerana tindakan itu melanggar peruntukan undang-undang dan menjejaskan pengurusan agihan zakat kepada golongan asnaf.
Ujarnya, hanya amil dan penolong amil yang dilantik secara sah sahaja dibenarkan menguruskan kutipan zakat.
“Perlu difahami bahawa pengurusan zakat adalah berkait pengurusan agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa negeri.
“Setiap negeri mempunyai sistem pungutan dan agihan tersendiri bagi memastikan kebajikan asnaf diurus dengan teratur,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan penahanan tiga individu termasuk timbalan pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM230 juta.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, penyelewengan itu tidak membabitkan sumber dana daripada badan zakat, sebaliknya diseleweng daripada sumbangan yang diberikan pelbagai pihak dan sumber kepada pertubuhan berkenaan.
Ujar Azam, sebahagian sumbangan yang diseleweng itu juga dipercayai termasuklah kutipan yang seharusnya disalurkan kepada badan zakat sebuah negeri.
Khutbah bertajuk ‘Tunaikan Zakat Kepada Amil Bertauliah’ itu turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi dan menghormati fatwa negeri Selangor, termasuk dalam hal menunaikan zakat.
Menurut kenyataan tersebut, individu yang mengutip zakat tanpa tauliah boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, termasuk denda atau hukuman penjara.
“Begitu juga, individu yang menunaikan zakat tidak melalui saluran yang sah dan amil yang dilantik boleh terdedah kepada tindakan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Umat Islam juga perlu memahami bahawa pengurusan zakat tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, termasuk dalam hal memindahkan harta zakat ke negeri lain.
“Perbuatan membawa keluar dana zakat ke negeri lain dikira sebagai memindahkan harta zakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, khutbah menegaskan umat Islam perlu memikul tanggungjawab untuk mempertahankan hak asnaf daripada dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Jika sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan individu atau kumpulan yang mengutip zakat tanpa tauliah, salurkan maklumat kepada pihak JAIS untuk tindakan selanjutnya.
“Umat Islam perlu memahami bahawa bukan sahaja zakat, bahkan apa-apa bentuk kutipan dana awam yang melibatkan kepentingan umat Islam di negeri Selangor hendaklah mendapat kebenaran daripada pihak berautoriti, iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” menurut kenyataan itu.




