
KUTU sampah yang membuang sampah merata-rata di pusat komersial dan pekan dalam kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah membayar kompaun di lokasi berjumlah RM4,660 yang dikeluarkan menerusi “Ops Bersih” sepanjang dua bulan lalu.
Seorang jurucakap Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya (UCD) berkata sebanyak RM2,100 berjaya dikutip pada bulan lalu manakala RM2,560 lagi dikutip pada April.
“Seramai 231 individu yang melakukan kesalahan telah dikenakan tindakan sepanjang tempoh tersebut.
“Daripada jumlah itu kira-kira 225 orang menjelaskan kompaun mereka serta-merta manakala enam lagi memilih untuk membuat bayaran dalam tempoh kelonggaran yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya pesalah terbabit dikesan membuang sampah termasuk puntung rokok secara merata-rata atau meninggalkan barangan yang tidak diinginkan di kawasan awam.
Beliau berkata kompaun sehingga RM500 boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar Undang-Undang Kecil Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 (Pindaan 2005).
Beliau berkata antara empat hingga lima pegawai penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan UCD yang berpakaian preman telah menjalankan 163 pemeriksaan berasingan sepanjang April dan Mei.
Katanya 65 daripada pemeriksaan tersebut dilakukan antara 4 hingga 28 Mei melibatkan premis di pusat bandar serta kawasan dari Kepayan hingga Telipok.
Menurut beliau di Kota Kinabalu operasi itu meliputi deretan kedai di Bandaran Berjaya, Kampung Air, Sinsuran dan Segama selain kawasan pesisir pantai berhampiran Patung Marlin dan Jeti DBKK.
Tambahnya kawasan awam di sekitar KK Plaza, Centre Point Sabah dan Api-Api Centre turut dipantau bagi mengesan individu yang membuang sampah secara sembarangan.
Beliau berkata jumlah tertinggi individu yang dikenakan tindakan kerana membuang sampah merata-rata dikesan di Kampung Air (15 orang) diikuti kawasan pesisir pantai (11 orang) dan Sinsuran (lapan orang).
Bagi kawasan di luar had bandar beliau berkata pasukan UCD telah melakukan pemeriksaan di premis perniagaan sekitar Kepayan Low Cost Housing, Taman Bunga Raja, Taman Iramanis, Lorong Perindustrian Nountun, Taman Indah Permai dan Taman Kuala Manggatal.
Selain itu operasi turut meliputi Damai Plaza, Plaza Juta, Inanam Business Centre, EG Mall, Kingfisher Plaza, Alam Mesra, University Plaza, Polytechnic Commercial Centre, Synergy Square dan Salut Commercial Centre.
Pemeriksaan juga dijalankan di kawasan perbandaran Sembulan dan Telipok bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan kebersihan awam.
Beliau berkata Inanam Business Centre mencatatkan jumlah pesalah tertinggi dalam kes ini dengan 10 individu dikenakan tindakan di sekitar blok-blok kawasan tersebut.
Ini diikuti oleh Polytechnic Commercial Centre dengan seramai tujuh individu ditahan kerana membuang sampah merata-rata.
Katanya lagi empat individu masing-masing dikenakan tindakan di Damai Plaza dan Plaza Juta.
“Pegawai penguat kuasa UCD turut mendapati seorang pemilik kedai di Polytechnic Commercial Centre telah meletakkan barangan miliknya secara tidak teratur di atas kaki lima serta kawasan tepi belakang premis,” ujarnya.
Beliau berkata sebanyak 98 pemeriksaan “Ops Bersih” telah dijalankan antara 1 April hingga 30 April.
Menurutnya kebanyakan pesalah di pusat bandar dikesan ketika melakukan kesalahan di kawasan Maybank Kampung Air (17 orang) pada bulan tersebut.
“Selain itu seramai 12 individu dikenakan tindakan di sekitar Centre Point Shopping Centre manakala tujuh lagi ditahan di kawasan deretan kedai Sinsuran,” jelasnya.
Bagi kawasan luar Kota Kinabalu beliau berkata majoriti litterbug dikesan di bandar Inanam (10 orang).
“Lapan lagi dikenakan kompaun di sekitar Kingfisher Plaza manakala enam orang masing-masing dikenakan tindakan di Inanam Business Centre serta premis kedai di University Plaza,” katanya.





