KWSP catat pendapatan pelaburan RM18.31 bilion pada 1QFY25, jumlah aset RM1.26 trilion

03/06/2025 - 17:44
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 3 Jun - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, menurun 13% berbanding RM20.99 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
KWSP memaklumkan, pendapatan itu termasuk keuntungan belum direalisasi sebanyak RM1.02 bilion hasil perubahan kadar tukaran mata wang asing.
Bagaimanapun, keuntungan tersebut tidak akan diagih sebagai dividen selaras dengan dasar pelaburan KWSP.
Menurut KWSP, pelaburan dalam ekuiti menyumbang pendapatan tertinggi iaitu RM10.81 bilion, namun turun 23% berbanding RM14.02 bilion pada 1QFY24.
KWSP berkata, penurunan berkenaan berpunca daripada prestasi lemah pasaran saham global dan keadaan pelaburan yang mencabar.
"Pelaburan ekuiti tetap menjadi penyumbang utama iaitu sebanyak 59% daripada jumlah pendapatan pelaburan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pelaburan dalam pendapatan tetap menyumbang RM5.99 bilion atau 33%, termasuk sekuriti kerajaan Malaysia, pinjaman dan bon.
"Pelaburan ini membantu memberikan pulangan yang stabil dan melindungi daripada turun naik pasaran saham," jelasnya.
Untuk pelaburan dalam hartanah dan infrastruktur, KWSP meraih pendapatan RM1.08 bilion, manakala instrumen pasaran wang menyumbang RM430 juta.
Daripada jumlah pendapatan pelaburan keseluruhan, sejumlah RM15.87 bilion datang dari simpanan konvensional dan RM2.44 bilion dari simpanan syariah.
Sehingga Mac 2025, jumlah aset pelaburan KWSP mencecah RM1.26 trilion, dengan 38% dilaburkan di luar negara.
Pelaburan antarabangsa itu menjana RM8 bilion atau 44% daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Sementara itu, pelaburan domestik yang merangkumi 62% daripada keseluruhan aset, terus memberikan pulangan stabil melalui dividen, faedah dan keuntungan sukuk.
"KWSP komited untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan mengekalkan lebih 70% peruntukan pelaburan tahunan dalam pasaran tempatan.
"Ia selaras dengan peranan institusi ini sebagai pelabur jangka panjang yang menyokong Kerangka Ekonomi Madani kerajaan," jelas kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn menjelaskan, pasaran global menjadi tidak menentu pada awal 2025 disebabkan ketegangan perdagangan dan ketidaktentuan dasar, terutama dari Amerika Syarikat.
Beliau berkata, walaupun inflasi global semakin reda, perbezaan kadar dan masa pelonggaran dasar monetari antara negara menjejaskan selera pelabur.
"Pelaburan global KWSP yang pelbagai membantu mengurangkan kesan itu dan memastikan pelaburan jangka panjang terus berkembang," katanya. - DagangNews.com
featured standard

