Wasco rancang jana pendapatan berulang menerusi loji tenaga biojisim

LocalBusiness & Finance
30 May 2025 • 11:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Wasco rancang jana pendapatan berulang menerusi loji tenaga biojisim

image is not available

30/05/2025 - 11:32

KUALA LUMPUR 30 Mei - Pakar saluran paip minyak dan gas (O&G), Wasco Bhd, merancang untuk menjana pendapatan berulang melalui pelaburan dalam loji tenaga biojisim.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Giancarlo Maccagno berkata, syarikat itu ingin memperkukuh kedudukan dalam segmen tenaga bio dengan bukan hanya membina loji, tetapi juga memiliki aset sendiri.

"Kami tidak mahu hanya membina loji untuk pihak lain. Kami mahu menjana pendapatan berulang contohnya membekalkan bahan mentah jangka panjang dan memeterai perjanjian jualan tenaga kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-25 Wasco baru-baru ini, seperti laporan The Edge.

Tambahnya, langkah itu selaras dengan kepakaran teras Wasco dan melengkapi perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE) sedia ada.

Wasco kini menjalankan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk biojisim, termasuk membekalkan turbin stim kepada sektor kelapa sawit.

Syarikat melihat potensi besar di Malaysia dan Indonesia, di mana tandan kosong kelapa sawit (EFB) masih kurang dimanfaatkan sebagai sumber RE.

Bagaimanapun Maccagno menegaskan, syarikat hanya akan melabur jika bekalan bahan mentah dan pembeli tenaga sudah dipastikan.


.
"Risiko utama ialah jika pembekal bahan mentah menarik diri atau pembeli tidak mampu membayar. Jadi, kami tidak akan terburu-buru dan hanya akan mulakan projek selepas semuanya disahkan," jelasnya.

Beliau turut menjelaskan, kos setiap loji biojisim dianggarkan antara RM30 juta hingga RM40 juta.

Tambahnya, buat masa ini, syarikat tidak menetapkan tarikh untuk pelaburan pertama.

"Kami tidak terdesak kerana perniagaan sedia ada berjalan dengan baik. Namun, strategi biojisim ini menarik kerana boleh membantu menstabilkan pendapatan syarikat yang sebelum ini bergantung kepada projek jangka pendek," ujarnya.

Setakat akhir tahun kewangan 2024, Wasco mempunyai buku pesanan bernilai RM2.5 bilion, dengan 85% daripada O&G, manakala 15% lagi daripada RE.

Nilai tender semasa kumpulan pula berjumlah RM13 bilion. - DagangNews.com

standard