
KENINGAU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) akan terus memberi fokus kepada pembangunan modal insan bagi membawa perubahan kepada masyarakat luar bandar.
Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, program-program yang dibawa oleh KYS adalah berpaksikan kepada Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pelan SMJ, hasil inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, antara lain, menekankan keperluan untuk meningkatkan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
“Atas komitmen ini, Kumpulan Yayasan Sabah akan terus menyokong agenda pembangunan SMJ dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negeri yang progresif dan berjaya,” jelas beliau.
SPONSORED CONTENT A&W poised for rapid growth in Sabah Kota Kinabalu: A&W is geared to become the leading Quick Service Restaurant (QSR) chain in Sabah, with its strong re-entry into Sabah with the opening of the first outlet in Inanam in November 2022. Read more Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Asrama Pusat Kraftangan Sabah (PKS) di Keningau pada Isnin.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Sehubungan itu, beliau berkata, berpandukan kepada Pelan SMJ dan selaras dengan misi KYS dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia di Sabah, dan dalam usaha mengurangkan kemiskinan, KYS melalui PKS telah melaksanakan pelbagai program untuk membantu masyarakat menjana pendapatan melalui pembuatan kraftangan.
“Dengan sokongan padu daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dalam pembiayaan dana program sejak 2012, PKS memberi fokus kepada pembangunan modal insan dalam bidang kraf tangan.
“Bermula tahun 2021 pula, PKS telah mengorak langkah ke hadapan dengan penjenamaan semula program yang dijalankan iaitu Program Rural Integrated Craft Heritage atau RICH.
“Program RICH ini memberi fokus kepada pembangunan dan pemantapan keusahawanan peserta program. Menerusi program ini, usahawan kraftangan akan lebih mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran industri kraf tangan,” jelas beliau.
Sejak tahun 2011 hingga 2023, hampir 22,000 orang telah mendapat latihan di PKS dalam pelbagai bidang kraftangan seperti batik, rotan, buluh, perkayuan dan sebagainya.
Tambah beliau, “PKS juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustian Malaysia (SIRIM) bagi mendapatkan khidmat nasihat pakar serta kemahiran dan teknologi dalam bidang-bidang tertentu.
“Menerusi Program Latihan Kraftangan dan Program RICH, PKS telah menyediakan platform kerjaya kepada bekas pesertanya.
“Terdapat bekas peserta yang kini menjadi tenaga pengajar dalam bidang kraftangan, tidak kurang juga yang menjadi usahawan kraf.
“Ada juga bekas peserta kita yang melanjutkan pelajaran di Institut Kraf Negara di Rawang, Selangor. Inilah pulangan yang ingin kita lihat di mana masyarakat kita berdikari dan berjaya keluar daripada kekangan ekonomi masing-masing,” kata beliau.
Pada tahun ini, PKS memperkenalkan satu lagi program baharu iaitu Program Penanaman Bahan Mentah yang akan memberi manfaat kepada masyarakat di luar bandar.
Program ini melibatkan penanaman bahan mentah rotan dan buluh di kawasan tanah konsesi Yayasan Sabah seluas 200 ekar. Inisiatif ini dijangka akan menjadi rantaian ekonomi yang berterusan dalam industri kraftangan di samping menjamin kemampanan sumber bahan mentah berkenaan.
Mengulas majlis perasmian asrama tersebut, beliau berkata program anjuran PKS telah menarik minat ramai belia seluruh Sabah sejak ia mula beroperasi pada 2012.
“Maka dengan mengambil kira kebajikan para peserta dan penjimatan kos menyewa jangka panjang, tercetuslah idea untuk mendirikan asrama bagi menempatkan peserta PKS,” kata beliau.
Asrama tiga tingkat itu mempunyai dua blok lelaki dan wanita yang mampu menempatkan seramai 200 penghuni dalam satu-satu masa. Setiap blok asrama dilengkapi dengan 23 bilik dengan kemudahan surau, ruang dobi serta pantri.
Asrama ini turut dilengkapi dengan tandas dan bilik mandi Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memudahkan golongan ini menggunakan fasiliti yang ada.
Pembinaan asrama yang menelan kos RM17.67 juta itu adalah melalui pembiayaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri. Pembinaannya bermula pada 6 Mei 2021 dan siap mengikut jadual dalam tempoh 24 bulan pada 3 Mei lalu.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pembantu Menteri Kerja Raya II merangkap Adun Bingkor, Datuk Robert Tawik; Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Pengerusi Sabah Energy Corporation merangkap Adun Liawan, Datuk Annuar Datuk Ayub; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Makhzan Mahyuddin, serta Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Samsul Dollah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



