PLUS Malaysia Berhad (Plus) melalui anak syarikatnya Projek Lebuhraya Usahasama Berhad dan Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd merupakan syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia dan salah satu yang terbesar di Asia Tenggara.
Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, PLUS juga menyediakan akses lebuh raya dengan lebih mudah yang membawa kepada pembangunan banyak bandar baharu, menyediakan peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan pusat perindustrian.
Misi peribadi beliau juga telah berjaya membuat satu pembaharuan dan perbezaan.
“Pihak pengurusan PLUS yang baharu telah memperkenalkan beberapa perubahan dengan menggunakan teknologi dan melaksanakan transformasi digital untuk menangani cabaran yang wujud selama ini untuk mendapatkan situasi yang lebih baik di PLUS,” katanya.
“Inisiatif-inisiatif itu akan meningkatkan keselamatan pelanggan lebuhraya dan produktiviti kakitangan yang secara langsung dapat mengurangkan kos,” katanya.
Menurutnya, PLUS terus kukuh sehingga ke hari ini dan syarikat sentiasa mengamalkan nilai meningkatkan daya usaha dan mengamalkan kerja berkumpulan, berintegriti dan bersemangat dalam meraih kejayaan.
“Selari dengan matlamat (higher purpose) PLUS, kami telah mengambil pelbagai pendekatan dengan memberi fokus kepada lima perkara teras iaitu keselamatan, keselesaan, impak sosial, teknologi dan juga tenaga kerja untuk menjaga pelanggan kami di sepanjang perjalanan mereka.
“Kami percaya, kecekapan dalam mengendalikan operasi dan perkhidmatan lebuh raya juga menyumbang ke arah kejayaan Plus sehingga ke hari ini,” katanya.
Beliau berkata, Plus menguruskan 1,100 kilometer lebuh raya di negara ini melibatkan Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara- Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
"PLUS menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 1.7 juta kenderaan setiap hari. PLUS juga mengendalikan 29 buah kawasan rehat dan rawat (R&R), 50 buah hentian sebelah dan empat buah restoran jejantas. Plus juga menyediakan perkhidmatan bantuan kecemasan PlusRonda 24 jam untuk memberikan bantuan dan memastikan keselamatan pengguna lebuh raya terjamin," katanya.
Evolusi Plus selama 30 tahun
PLUS sering dijadikan penanda aras kerana inisiatif baharu yang telah dilaksanakan sejak kebelakangan ini memberikan impak yang positif.
Azman berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) berasaskan tenaga solar yang pertama di Malaysia Solar untuk kenderaan elektrik yang terdapat di Restoran Jejantas Ayer Keroh (Arah Selatan), Melaka.
Menurutnya, kawasan Rawat dan Rehad (R&R) Machap (Arah Utara) di Lebuhraya Plus merupakan R&R pertama di Malaysia yang menggunakan tenaga solar fotovolta di bangunan kawasan rehatnya.
“PLUS juga bekerjasama dengan Microsoft Malaysia mengintegrasikan sistem cloud Microsoft Azure ke rangkaian tol lebuhraya dan memodenkan pengalaman lebuhraya di Malaysia.
“Ia menjadikan PLUS syarikat pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi masa hadapan seperti Artificial Intelligence (AI), big data analytics dan cloud computing untuk meningkatkan operasi, membantu dalam ramalan kesesakan, perancangan perjalanan yang lebih baik dan menaiktaraf pengalaman pelanggan secara menyeluruh,” katanya.
Azman berkata, PLUS juga dianugerahkan pemenang Program Pengurusan Risiko Terbaik pada Anugerah StrategicRISk Asia Pasifik menewaskan organisasi terkemuka bertaraf dunia seperti Changi Airport, Singapura, yang merupakan lapangan terbang yang paling banyak menerima pengiktirafan dunia pada Persidangan Tahunan Forum Risiko 2019 yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.
“PLUS juga telah memperkenalkan projek perintis pembayaran tanpa tunai menerusi Aplikasi BOOST di R&R Ayer Keroh (Arah Selatan) serta pembayaran tanpa sentuh menerusi Visa PayWave di R&R Dengkil (Arah Utara).
“Kami turut memperkenalkan penggunaan kenderaan keselamatan sebagai pendekatan baharu untuk meningkatkan tahap keselamatan ketika petugas lebuh raya mengalihkan objek atau halangan yang tercicir di atas lebuh raya,” katanya.
Berpengalaman selama 30 tahun mengendalikan lebuh raya, Plus menerima kunjungan delegasi luar negara antaranya seperti Jepun, China, New Zealand, Turki, Mesir, India, Brunei, Indonesia, Filipina, Afrika Selatan, Nigeria, Bosnia yang ingin mengetahui bagaimana syarikat menjalankan pengurusan operasi dan penyelenggaraan serta penggunaan teknologi atau peralatan lebuh raya.
Penuhi kehendak pelanggan
Negara telah mengalami kesan krisis ekonomi di antara tahun 1997 hingga 1999 dan ia memberikan kesan kepada PLUS.
Bagaimanapun, Azman berkata dalam tempoh tersebut, Plus telah menjalankan langkah-langkah penjimatan dan berhemah dalam perbelanjaan.
“PLUS juga pernah mengalami peristiwa keruntuhan cerun (soil slope) di laluan Gua Tempurung sekitar tahun 1996 dan runtuhan batu (rockfall) di Bukit Lanjan pada tahun 2003. Ia dapat diatasi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, PLUS perlu berevolusi daripada sebuah pengendali lebuh raya kepada sebuah penyedia perkhidmatan.
“Pelbagai pendekatan baharu serta transformasi perlu dilaksanakan bagi membolehkan kami terus memenuhi kehendak pelanggan masa kini yang berbeza ketika lebuh raya mula beroperasi lebih 30 tahun yang lalu.
“Pada ketika ini, kami sedang mentransformasikan R&R kami sebagai pusat atau hub komuniti di mana mereka boleh berkumpul dan meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Tidak naik kadar tol sejak 2005
PLUS juga sentiasa mencari pelbagai inisiatif yang baharu bagi memenuhi permintaan dan citarasa pelanggan generasi millennial.
“Dengan matlamat untuk menyediakan keselesaan bertaraf dunia kepada pelanggan lebuh raya, kami akan memberi wajah baharu kawasan rehat dan rawat (R&R) kami dengan menjalankan kerja-kerja naik taraf Rejuvunate & Retrofit R&R secara berperingkat.
"Projek penambahbaikan yang pertama telah dilaksanakan di R&R Rawang (Arah Utara), di R&R Machap (Arah Selatan), Gelang Patah (Arah Selatan) dan Restoran Jejantas Sungai Buloh.
“Projek menaiktaraf R&R pula akan melibatkan pembinaan infrastruktur dengan konsep, rekaan dan tema yang baharu dan ia akan dilaksanakan di R&R Seremban (Arah Selatan) dan Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Selatan) pada tahun ini. PLUS juga turut menjalankan kerjasama dengan jenama makanan dan minuman terkenal. walaupun pelbagai transformasi yang dilakukan, PLUS tidak menaikkan kadar tolnya selama 14 tahun sejak tahun 2005 lalu," katanya.
Azman berkata, kadar tol semasa bagi setiap kilometer di Lebuhraya Utara-Selatan dan Elite adalah di antara yang terendah di negara ini dan ia telah menambah tekanan ke atas perbelanjaan PLUS terutamanya yang melibatkan penyelenggaraan lebuh raya.
“PLUS menguruskan rangkaian lebuh raya sepanjang 1,100 kilometer yang mempunyai 8,303 cerun, dua terowong (iaitu Meru dan Menora), 741 jambatan (termasuk jambatan utama seperti Jambatan Pulau Pinang, Tambak Johor, Jambatan Kedua Malaysia-Singapura) dan 6,187 saliran atau sistem pembetung.
“Kesemua aset ini memerlukan regim penyelenggaraan yang berterusan dan kami juga menjalankan lebih daripada 10,000 pemeriksaan setiap tahun. Selain itu, semua aset ini dibina di atas pelbagai jenis keadaan dari tanah yang lembut dan beralun serta keadaan di kawasan geografi yang mencabar,” katanya.
Beliau berkata, PLUS beroperasi sejak 30 tahun lalu dan berlaku perubahan yang ketara ke atas infrastruktur dan aset lebuh raya yang telah berusia ini disebabkan beberapa faktor seperti keadaan iklim tropika serta bebanan trafik yang tinggi ke atas permukaan jalan.
“Kami melabur lebih RM300 juta setiap tahun untuk menjalankan kerja naik taraf dan pemulihan semula turapan jalan secara berterusan untuk memanjangkan jangka hayat lebuh raya. Ini bertujuan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan lebuh raya serta kakitangan kami,” katanya.
Azman berkata, PLUS juga akan terus memastikan kualiti perkhidmatan berada pada tahap terbaik, perbelanjaan operasi secara berhemah dan penyelenggaraan lebuh raya dijalankan dengan lebih efisien.
Tambahnya, pendekatan 3E, yang merangkumi penguatkuasaan, pendidikan dan kejuruteraan digunakan sebagai strategi PLUS untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.



