Label Malaysia sebagai 'risiko standard', MPOC persoal penarafan risiko pembasmian hutan EU

23/05/2025 - 16:31
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 23 Mei - Pengeluar minyak sawit Malaysia mengkritik keras keputusan Suruhanjaya Eropah yang meletakkan Malaysia di bawah kategori 'risiko standard' berbanding 'risiko rendah' dalam sistem penanda aras Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Carl Bek-Nielsen berkata, keputusan itu tidak adil kerana ia gagal mengambil kira usaha dan kemajuan Malaysia dalam mengurangkan penebangan hutan.
Jelasnya, pengeluar minyak sawit Malaysia termasuk pekebun kecil telah bekerja keras memelihara hutan dan mengurangkan kemusnahan hutan dalam aktiviti mereka.
"Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah diwajibkan sejak tahun 2020 sebagai bukti usaha negara ini.
"Namun, Suruhanjaya Eropah memilih untuk memberi status 'risiko rendah’ kepada beberapa negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang sebenarnya mempunyai rekod lebih buruk," katanya dalam satu kenyataan.
Bek-Nielsen berkata, layanan berat sebelah itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan bukannya membantu mewujudkan kerjasama yang lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron turut menyuarakan rasa kecewa terhadap keputusan tersebut yang disifatkan tidak selaras dengan data dan perkembangan sebenar.
"Kami sangat kecewa kerana keputusan ini tidak mencerminkan pencapaian Malaysia. Malah, dokumen sokongan dan data yang digunakan Suruhanjaya Eropah juga boleh dipertikaikan," ujarnya.
Belvinder berkata, MPOC akan meminta penjelasan lanjut daripada Suruhanjaya Eropah mengenai kaedah yang digunakan dalam penilaian berkenaan.
Menurutnya, Malaysia telah menunjukkan komitmen kukuh dalam pemuliharaan hutan dan penghasilan minyak sawit mampan untuk pasaran Eropah.
Tambah beliau, data satelit bebas seperti Satelligence dan Global Forest Watch menunjukkan Malaysia masih mempunyai lebih banyak hutan berbanding negara maju lain dan berjaya mengurangkan kehilangan hutan sebanyak 65 peratus dari 2014 hingga 2023.
"Malah, pada tahun 2024 sahaja, kita berjaya mengurangkan lagi kehilangan hutan sebanyak 13 peratus.
"Buat pertama kali Malaysia tidak lagi termasuk dalam 10 negara tropika yang paling banyak kehilangan hutan," katanya.
Beliau turut menegaskan, tiada lagi penukaran kawasan hutan semula jadi kepada ladang sawit baharu dibuat di bawah piawaian MSPO 2022 sejak 2019.
Belvinder berkata, polisi Malaysia selari dengan kriteria EUDR yang menekankan tiada penebangan hutan dan pematuhan undang-undang, serta komitmen iklim di bawah Perjanjian Paris.
"Keputusan Suruhanjaya Eropah ini mencemarkan kredibiliti sistem penanda aras mereka sendiri.
"EUDR seharusnya memberi galakan kepada negara yang benar-benar menunjukkan kemajuan, seperti Malaysia," tegasnya. - DagangNews.com
standard


