FSC teruskan kerjasama dengan Samling, syarikat perlu baiki pengurusan hutan

LocalEnvironment
13 May 2025 • 12:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

FSC teruskan kerjasama dengan Samling, syarikat perlu baiki pengurusan hutan

image is not available

13/05/2025 - 12:54

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Mei - Majlis Pengurusan Hutan (FSC) memutuskan untuk terus bekerjasama dengan syarikat Samling Global Limited, tetapi dengan syarat syarikat itu mengambil tindakan membetulkan isu-isu berkaitan pengurusan hutannya.

Keputusan tersebut dikeluarkan pada bulan lalu selepas FSC menerima aduan daripada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 2023, termasuk SAVE Rivers, Jawatankuasa Tindakan Hak Komuniti Gerenai (GCRAC), Pertubuhan KERUAN, The Borneo Project dan Bruno Manser Fund.

Aduan tersebut mendakwa kemungkinan berlaku pelanggaran dalam konsesi hutan Samling, mendorong FSC menjalankan siasatan terperinci dengan bantuan panel pakar bebas.

FSC juga menggunakan analisis Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk memeriksa kawasan konsesi di Sarawak.

Walaupun analisis itu tidak mengesahkan semua dakwaan, ia menunjukkan risiko kemusnahan hutan bernilai konservasi tinggi (HCV).

"Analisis GIS tidak dapat menyiasat sepenuhnya isu konflik sosial, terutamanya yang melibatkan hak tradisional dan hak asasi manusia.

"Namun, ia menunjukkan kemungkinan risiko kemusnahan dan penukaran HCV," kata FSC dalam satu kenyataan.

FSC menegaskan, Samling perlu melaksanakan pelan tindakan pembetulan sebagai syarat untuk terus bekerjasama dengannya.

Samling, dalam kenyataan pada 29 April lalu, menyambut baik keputusan FSC dan berjanji akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk meningkatkan prestasi kelestariannya.

Sijil pengurusan hutan syarikat itu di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), yang diiktiraf oleh Program Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC), masih sah.

Bagaimanapun, FSC menemukan satu pelanggaran di luar kawasan bersijil, walaupun ia dianggap 'kecil' berbanding jumlah kawasan yang disiasat.

"Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) telah menyelesaikan siasatannya pada 2021 dan menganggap aduan itu selesai," kata Samling.

Pengarah Eksekutif The Borneo Project, Jettie Word, mengkritik pensijilan MTCS dan mendakwa operasi Samling melanggar undang-undang negeri dan piawaian antarabangsa.

Sementara itu, pemimpin Penan dan Pengarah KERUAN, Koemok Joe, berpuas hati dengan keputusan tersebut, sementara Lukas Straumann dari Bruno Manser Fund pula mendesak Jabatan Perhutanan Sarawak menjalankan siasatan lanjut.

Dengan keputusan berkenaan, Samling perlu membuktikan komitmennya terhadap pengurusan hutan mampan untuk mengekalkan hubungan dengan FSC. - DagangNews.com

standard