Labuan FSA lantik Affendi Rashdi sebagai Ketua Pengarah berkuat kuasa 1 Mei 2025

02/05/2025 - 11:55
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 2 Mei — Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) melantik Affendi Rashdi sebagai Ketua Pengarahnya yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Mei 2025 hingga 30 April 2027.
Beliau yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Perkhidmatan Bank Negara Malaysia (BNM), menggantikan kekosongan Nik Mohamed Din Nik Musa, setelah tamat tempoh perkhidmatan pada 30 April 2025.
Labuan FSA berkata, pelantikan itu dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dengan Affendi memiliki ijazah dari Universiti Harvard dan Universiti Teknologi Mara serta ahli dalam beberapa badan perakaunan profesional.
"Affendi membawa lebih dua dekad pengalaman dalam pembangunan sektor kewangan, dasar dan perkhidmatan institusi manakala di BNM, beliau memegang jawatan kanan termasuk pengarah jabatan kewangan," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Affendi merupakan sebahagian daripada pasukan Pelan Tindakan Sektor Kewangan serta menyumbang kepada pengkorporatan Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank) dan penubuhan Bank Pembangunan Perusahaan Kecil Sederhana Malaysia Berhad.
Di samping itu kata Labuan FSA, beliau berpengalaman luas dalam kajian semula mengenai Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2012.
Lembaga Pengarah mengucapkan terima kasih kepada ketua pengarah yang bersara atas segala sumbangannya kepada pertumbuhan Labuan IBFC.
"Dengan pelantikan Affendi, Labuan FSA yakin pusat itu terus berinovasi serta berkembang, membina kejayaan dan mengukuhkan lagi kedudukan sebagai pusat kewangan pilihan di Asia," katanya. - DagangNews.com
standard



