Cahya Mata Sarawak dapat kelulusan projek simen kedua di Mambong

02/05/2025 - 17:57
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 2 Mei — Cahya Mata Sarawak Berhad berjaya memperoleh kelulusan rasmi daripada kerajaan Sarawak bagi memulakan pembangunan projek Clinker Line 2 di Loji Simen Bersepadunya di Mambong untuk menyokong industri pembinaan di negeri itu.
Projek strategik kedua tersebut akan dibangunkan oleh anak syarikat milik penuhnya, Cahya Mata Cement Sdn Bhd, yang bakal mengukuhkan kapasiti pengeluaran simen tempatan dan membantu pertumbuhan dalam jangka panjang industri tersebut di Sarawak.
Pengarah Urusan Cahya Mata Cement, JT Choong berkata, setelah siap, barisan baharu tersebut akan meningkatkan pengeluaran simen secara ketara untuk dapat memenuhi permintaan pasaran bahan itu yang semakin bertambah di seluruh negeri berkenaan.
"Projek ini adalah bukti pelaburan berterusan kami dalam masa depan industri simen Sarawak, sambil menyelaraskan dengan matlamat Cahya Mata sendiri untuk memacu kecekapan operasi, kemajuan teknologi dan penjagaan alam sekitar," katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis pemeteraian perjanjian tersebut di pejabat korporat Cahya Mata di Menara Darussalam, di ibu negara yang turut melibatkan wakil Sinoma Industry Engineering (M) Sdn Bhd sebagai kontraktor projek berkenaan.
Projek Clinker Line 2 itu kini dalam peringkat akhir untuk menerima kelulusan kawal selia dengan pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2025, manakala operasi pengeluaran secara penuh disasarkan pada suku kedua 2027.
Dengan pelaksanaan projek kedua berkenaan, pengeluaran tahunan syarikat tersebut akan meningkat sebanyak lebih dua kali ganda daripada hanya 900,000 tan kepada 1.92 juta tan.
Mengulas lanjut, Choong berkata, pemeteraian perjanjian itu mengetengahkan visi bersama untuk pembangunan mampan, inovasi perindustrian, dan sumbangan ekonomi kepada rantau ini.
"Ia mencerminkan dedikasi Cahya Mata untuk membina sebuah kilang yang canggih, menjana pekerjaan berkemahiran tinggi, serta menyokong pembinaan dan pembangunan Negeri," katanya. - DagangNews.com
standard

