Lagenda Properties berpotensi manfaatkan bank tanah Sime Darby Property pacu pertumbuhan segmen perumahan mampu milik – AmInvestment

26 Jan 2024 • 10:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lagenda Properties berpotensi manfaatkan bank tanah Sime Darby Property pacu pertumbuhan segmen perumahan mampu milik – AmInvestment

diyana

26/01/2024 - 10:27

KUALA LUMPUR 26 Jan - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Lagenda Properties Bhd dengan nilai saksama (FV) lebih tinggi pada RM1.88 sesaham daripada RM1.85 sebelum ini.

Pada masa akan datang, firma penyelidikan itu berpendapat bahawa terdapat prospek untuk meningkatkan kerjasama antara Lagenda Properties dan Sime Darby Property, yang berpotensi membolehkan Lagenda Properties memanfaatkan bank tanah Sime Darby Property yang luas di Malaysia untuk pertumbuhan selanjutnya dalam segmen perumahan mampu miliknya.

“Selain itu, perbandaran Lagenda Properties yang sedang berjalan di Kedah, merangkumi 1,924 unit, telah memperoleh sambutan luar biasa, mencapai kadar penggunaan lebih 99% untuk fasa pertama dan kedua

“Kami percaya kerjasama itu datang pada masa yang sesuai bagi menangani permintaan tinggi untuk rumah mampu milik di Kedah,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Positif terhadap langkah kumpulan itu menubuhkan syarikat usaha sama dengan Sime Darby Property Bhd untuk membangunkan rumah mampu milik, firma penyelidikan itu berkata FV dinaikkan berdasarkan kadar diskaun tidak berubah sebanyak 30% kepada nilai aset bersih sebenar (RNAV) dan premium 3% untuk mencerminkan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) empat bintang syarikat pemaju hartanah itu.

Syarikat usaha sama 50:50 Lagenda Properties dan Sime Darby Property, yang dikenali sebagai Seed Homes Lagenda, bersedia untuk memulakan projek perbandaran mampu milik pertama di Gurun, Kedah melalui perolehan tanah seluas sekitar 100 hektar daripada Sime Darby Property berharga RM50 juta.

“Selain mengekalkan [unjuran] pendapatan tahun kewangan 2023 (FY23), kami menurunkan keuntungan bersih teras FY24 (CNP) sebanyak 0.04% dan meningkatkan CNP FY25 sebanyak 1.5% untuk mengambil kira kos kewangan dan sumbangan pendapatan daripada usaha sama ini,” katanya.

AmInvestment mendedahkan bahawa perbandaran itu dijangka terdiri daripada 3,000 unit rumah teres satu tingkat, dengan purata harga jualan tidak melebihi RM250,000 seunit. Anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) projek berkenaan dijangka RM750 juta dan akan dibangunkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

Ia menambah bahawa Lagenda Properties merancang untuk melancarkan fasa pertama projek ini menjelang akhir tahun kewangan 2024 (FY24) atau awal 2025.

“Harga tanah RM50 juta diterjemahkan kepada RM4.61 kaki persegi dan membayangkan nisbah kos tanah kepada GDV sebanyak 6.6%, lebih rendah daripada nisbah purata kos tanah industri kepada GDV sebanyak 15% hingga 20%.

“Unjuran margin keuntungan pembangunan bersih sebanyak 20% untuk projek Gurun mencerminkan projek Lagenda yang sudah matang di Setiawan dan Teluk Intan,” tambahnya.

Setakat pukul 10:19 pagi, saham Lagenda Properties turun 3 sen atau 2% kepada RM1.45 dengan permodalan pasaran bernilai RM1.2 bilion. - DagangNews.com