johardy17/09/2026 - 18:15 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept - Lagenda Properties Berhad menjana RM475 juta menerusi terbitan pertama di bawah Program Sukuk Wakalah bernilai RM1.5 bilion bagi menyokong pemerolehan dan pembangunan perumahan mampu milik.
Sukuk Siri 1 bercagar itu diterbitkan oleh anak syarikat milik penuhnya, Lagenda Capital Bhd dan dijamin oleh Lagenda Properties, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Hasil terbitan sukuk berkenaan akan disalurkan menerusi pendahuluan antara syarikat yang mematuhi prinsip Syariah bagi membiayai pemerolehan dan keperluan modal kerja untuk pembangunan perumahan mampu milik, antara lain.
Lagenda Properties adalah syarikat pemaju yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan memberi tumpuan kepada pembangunan kediaman bertanah mampu milik serta perbandaran bersepadu, khususnya untuk pembeli dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40.
Syarikat itu mula memberi tumpuan kepada pembangunan perumahan mampu milik di Perak pada 2018 sebelum memperluaskan operasinya ke Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Negeri Sembilan.
Setakat Jun 2026, Lagenda Properties mempunyai simpanan tanah seluas kira-kira 3,998 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM10.28 bilion.
Perluas pembangunan perumahan mampu milik
Antara projek yang sedang dibangunkan ialah Lagenda Ardea Fasa 2 di Ulu Bernam, Selangor; BBSAP di Sitiawan, Perak; dan La’ Lumiere di Kulai, Johor.
Lagenda Properties turut merancang untuk melancarkan perbandaran baharu di Sungai Petani, Kedah dan Senawang, Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak menyatakan projek tertentu yang akan menerima pembiayaan daripada terbitan sukuk pertama berkenaan.
Sukuk itu tidak diberi penarafan dan tidak akan disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd atau mana-mana bursa saham lain.
Alliance Islamic Bank Bhd dan AmInvestment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi program sukuk tersebut.
Alliance Islamic Bank dan AmBank Islamic Bhd pula bertindak sebagai penasihat Syariah bersama.
Lagenda Properties pertama kali mengumumkan program sukuk bernilai RM1.5 bilion itu pada 24 Julai 2026. — DagangNews.com





