Sabah Energy peroleh RM350 juta sukuk sulung, catat lebihan langganan 2.2 kali

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sabah Energy peroleh RM350 juta sukuk sulung, catat lebihan langganan 2.2 kali Image from: Sabah Energy peroleh RM350 juta sukuk sulung, catat lebihan langganan 2.2 kali amree17/09/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 SeptSabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) berjaya meraih RM350 juta menerusi penerbitan sukuk sulungnya, dengan menerima langganan sebanyak 2.2 kali walaupun pasaran berdepan ketidaktentuan susulan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

 

Penerbitan itu dibuat di bawah Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion SEC dan mencatat satu lagi pencapaian apabila menjadi usaha terbitan pertama secara pembentukan buku tempahan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Sabah.

 

Tambahnya dalam kenyataan, sukuk berkenaan menerima penarafan jangka panjang AAA dengan prospek stabil daripada firma RAM Rating Services Berhad, sekali gus mencerminkan tahap kedudukan kredit syarikat tersebut yang kukuh.

 

"Kejayaan penerbitan sulung itu menyediakan platform pembiayaan yang lebih fleksibel dan boleh dikembangkan bagi menyokong agenda PETA 2030 syarikat," kata SEC.

 

Agenda berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan perniagaan teras gas dan infrastruktur, perluasan kapasiti penjanaan tenaga serta tenaga boleh diperbaharui (RE), selain pelaburan secara berdisiplin merentasi rantaian nilai tenaga Sabah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir Adzmir Abd Rahman berkata, penerbitan tersebut turut menyokong matlamat di bawah SERAMP 2040 untuk memperkukuh keselamatan tenaga, mempercepatkan peralihan tenaga dan memastikan bekalan tenaga yang lebih dipercayai di Sabah.

 

Sabah Energy_DagangNews2026

 

Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) bertindak sebagai penasihat utama prinsipal tunggal, pengatur utama tunggal, pengurus utama tunggal, penasihat penstrukturan kelestarian tunggal, penasihat Syariah dan ejen kemudahan bagi transaksi itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Pelaburan Maybank IB, Michael Oh-Lau berkata, penerbitan berkenaan mempelbagaikan akses SEC kepada sumber pembiayaan jangka panjang dalam ringgit, selain meningkatkan profil SEC dan Sabah dalam kalangan pelabur institusi tempatan serta antarabangsa.

 

Beliau berkata, sambutan kukuh terhadap sukuk itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kekuatan kredit dan prospek pertumbuhan SEC, selain menyokong pembangunan infrastruktur tenaga Sabah serta kedudukan negeri itu dalam ekosistem tenaga ASEAN.

 

SEC yang dimiliki sepenuhnya kerajaan negeri kini berkembang daripada pengendali utiliti gas kepada kumpulan tenaga bersepadu secara menegak, merangkumi infrastruktur gas asli, penjanaan tenaga, RE serta perkhidmatan sokongan minyak dan gas (O&G) luar pesisir.

 

Sebagai pengagregat, pengangkut dan pengedar gas asli tunggal di Sabah, SEC berkata kedudukannya membolehkan infrastruktur syarikat menghubungkan sumber gas huluan dengan penjanaan tenaga, pembangunan industri serta peluang baharu dalam peralihan tenaga. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved