Lagi 84 PATI ditahan di Flat Hijau

25 Sep 2026 • 6:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lagi 84 PATI ditahan di Flat Hijau

PETALING JAYA – Seramai 84 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya Ops Pintu di Pangsapuri Putra Harmoni yang lebih dikenali sebagai ‘Flat Hijau’ di Putrajaya.

Operasi itu dijalankan menerusi dua fasa bermula semalam dengan pemeriksaan serta tindakan terhadap premis perniagaan di kawasan pangsapuri berkenaan.

JIM dalam kenyataan berkata, operasi diteruskan awal pagi hari ini bermula pukul 1.30 pagi dengan menyasarkan penghuni yang disyaki PATI.

Menurutnya, ia melibatkan seramai 60 pegawai JIM daripada pelbagai pangkat dengan menyaksikan 321 individu diperiksa.

“Daripada jumlah itu, seramai 84 PATI ditahan membabitkan 73 lelaki, sembilan wanita dan dua kanak-kanak untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya hari ini.

JIM berkata, operasi berkenaan digerakkan susulan aduan awam serta maklumat yang diterima menerusi media sosial sebelum diperkukuh melalui risikan jabatan.

“Hasil risikan mendapati terdapat warga asing yang menetap di kawasan berkenaan dan sebahagiannya dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan di situ.

“Tindakan itu juga merupakan kesinambungan operasi penguatkuasaan JIM di kawasan penempatan yang dikenal pasti mempunyai kepadatan warga asing yang tinggi, susulan operasi yang dilaksanakan pada 9 September lalu,” jelasnya.

JIM menambah, pihaknya memandang serius isu penempatan PATI secara berkelompok selain aktiviti yang dijalankan tanpa mematuhi peruntukan undang-undang imigresen.

Sehubungan itu, katanya, pemilik rumah dan premis diminta bertanggungjawab terhadap penyewa serta memastikan status imigresen penghuni adalah sah dan mematuhi syarat ditetapkan.

Pada 9 September lalu, seramai 325 warga asing ditahan JIM dalam operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan pangsapuri di sekitar Putrajaya.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 270 lelaki dan 55 wanita, berusia antara 18 hingga 56 tahun, membabitkan warganegara Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Nepal dan Thailand.

Terdahulu, Kosmo! mendedahkan kewujudan komuniti warga asing yang mendiami di Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9, di sini, atau lebih dikenali sebagai ‘Flat Hijau’.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan apabila kelibat warga asing semakin kerap dilihat yang menjadikan ia sebagai lokasi berkumpul sehingga lewat malam. – KOSMO! ONLINE

The post Lagi 84 PATI ditahan di Flat Hijau appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved