Lagi dua hari raya korban, seludup ternakan masih aktif - PGA

LocalPolitics
24 May 2026 • 8:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lagi dua hari raya korban, seludup ternakan masih aktif - PGA
PGA Briged Tenggara memperketat kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand menjelang Aidiladha.

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara memperketat kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand menjelang Aidiladha susulan kegiatan penyeludupan haiwan ternakan yang dikesan masih aktif bagi memenuhi permintaan tinggi sempena musim korban.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 23 Mei lalu, sebanyak 10 kes penyeludupan haiwan ternakan berjaya dikesan melibatkan rampasan 90 ekor lembu dan 100 ekor kambing bernilai RM457,200.

Menurut beliau, statistik itu membuktikan sindiket penyeludupan masih cuba mengambil kesempatan membawa masuk ternakan secara haram melalui laluan tikus di kawasan sempadan Kelantan.

"Rampasan tertinggi direkodkan pada April lalu melibatkan 28 ekor lembu dan 100 ekor kambing dengan nilai keseluruhan RM204,000.

"Antara kejayaan terbaharu ialah rampasan 13 ekor lembu seludup bernilai RM39,000 di Kampung Manan, Bunut Susu, Pasir Mas pada 20 April lalu yang turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai penghantar ternakan dari kawasan sempadan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Binatang 1953 serta peraturan kawalan import dan pemindahan haiwan ternakan bagi mengekang risiko penularan penyakit dari luar negara.

Ahmad Radzi memberitahu, bagi memastikan keselamatan sempadan terus terkawal sepanjang Aidiladha, PGA mempertingkat penugasan menerusi Op Taring Wawasan (OTW) dengan rondaan siang dan malam, sekatan jalan raya, sekat pintas serta pemantauan di pangkalan haram dan lorong tikus.

Ujarnya, penggunaan teknologi termasuk dron turut dipergiat bagi membantu pasukan operasi mengesan aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan.

"Dalam musim perayaan sebelum ini, seramai 322 pegawai dan anggota Batalion 7 PGA diatur gerak menerusi OTW manakala 58 anggota Batalion 9 PGA ditugaskan dalam Op Tiris melibatkan barang kawalan bersubsidi.

"Pendekatan sama akan diteruskan berdasarkan penilaian ancaman semasa dan keperluan operasi," katanya.