Warga Myanmar paling ramai seludup masuk melalui Sungai Golok

LocalPolitics
15 May 2026 • 10:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga Myanmar paling ramai seludup masuk melalui Sungai Golok
Sebahagian PATI yang ditahan kerana menyeludup masuk melalui Sungai Golok. - Foto : PGA
Image from: Warga Myanmar paling ramai seludup masuk melalui Sungai Golok
PGA akan terus memperketat kawalan dan memperhebat operasi bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara. - Foto : PGA

KOTA BHARU – Warga Myanmar dikesan menjadi kumpulan paling ramai cuba diseludup masuk ke negara ini melalui laluan Sungai Golok, Rantau Panjang, Pasir Mas sepanjang tempoh 1 Januari hingga 15 Mei ini.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain berkata, daripada keseluruhan 360 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan (OTWK) dan Op Delta, seramai 264 individu merupakan warga Myanmar.

Menurut beliau, jumlah itu jauh mengatasi warga asing lain termasuk Thailand seramai 40 orang, Bangladesh (30), Indonesia (9), India (8), Vietnam (4), China (3), Nepal (1) dan Pakistan (1).

“Dalam tempoh sama, pihak PGA turut menahan sembilan tekong darat yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di kawasan sempadan negeri ini.

“Sebanyak 78 serbuan dilaksanakan melibatkan kawasan sekitar Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata, antara lokasi panas yang dikenal pasti sering digunakan sebagai laluan masuk PATI ialah pengkalan haram di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Jeram Perdah dan Chabang Empat.

Tambah beliau, sebanyak 110 kes telah disabitkan terhadap PATI dan tekong yang ditahan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Ahmad Radzi berkata, PGA akan terus memperketat kawalan dan memperhebat operasi bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara.

“Pihak polis juga mengharapkan kerjasama orang awam untuk terus menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di kawasan masing-masing,” katanya.

View Original Article