Lagi kanak-kanak lemas, tergelincir ketika memancing di tali air

28 May 2026 • 8:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lagi kanak-kanak lemas, tergelincir ketika memancing di tali air
Mangsa ditemukan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

KUDAT - Seorang kanak-kanak lelaki lemas selepas tergelincir ketika memancing di tali air di Kampung Masankong di sini pada Khamis. 

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mayat kanak-kanak berusia 11 tahun yang belum diketahui identitinya ditemukan oleh penduduk kampung. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.59 petang. 

Katanya, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak sejauh 14 kilometer dari BBP Kudat. 

"Menurut maklumat pengadu, seorang mangsa kanak-kanak lelaki sedang memancing ikan bersama rakannya sebelum dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam tali air tersebut.

"Mangsa berjaya ditemukan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi," katanya dalam kenyataan. 

Katanya lagi, mayat seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.