TAPAH - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih kini tertumpu ke kawasan sungai dengan mangsa dipercayai berusaha mencari sumber air selepas lebih 72 jam berada di dalam hutan dengan bekalan terhad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, petunjuk terbaharu menunjukkan mangsa berkemungkinan bergerak ke kawasan tersebut iaitu di Sungai Ayer Busok bagi mendapatkan bekalan air.
"Selepas tempoh 72 jam, kita menjangkakan keadaan mangsa semakin lemah kerana kekurangan makanan, air serta perlindungan yang mencukupi.
"Jadi berdasarkan pengalaman dan keadaan muka bumi, terdapat kemungkinan mangsa memilih untuk turun ke kawasan sungai bagi mendapatkan sumber air.
ARTIKEL BERKAITAN: Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat
Pasukan SAR jumpa botol air, bungkusan milik Jaslinda
Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan
Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu
"Kita dimaklumkan, mangsa hanya membawa sedikit bekalan makanan seperti kurma dan dua botol air. Malah, satu daripada botol tersebut telah ditemui," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Bomba di Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh di sini pada Khamis.
**media[3534206]**
Sayani berkata, berdasarkan maklumat dan analisis pasukan penyelamat, mangsa yang mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dalam mendaki gunung menyedari telah tersasar daripada laluan asal sebelum cuba berpatah balik.
“Sebelum ini kita menemui beberapa petunjuk seperti botol air yang dipercayai milik mangsa di sekitar laluan antara Gunung Rayu dan Bukit Berapit.
“Tanda terakhir yang ditemui adalah cebisan ponco dan selepas itu tiada lagi petunjuk baharu ditemui,” katanya.
Beliau turut mengakui, operasi SAR berdepan cabaran besar berikutan keadaan muka bumi yang mencabar dengan laluan berbukit serta jarak antara puncak yang memerlukan masa sehingga beberapa jam untuk dilalui.
“Sebagai contoh, perjalanan sejauh kira-kira 1.5 kilometer boleh mengambil masa sehingga empat hingga lima jam kerana bentuk muka bumi yang sukar.
“Malah, untuk membawa keluar mangsa sebelum ini, ia boleh mengambil masa sehingga lapan hingga sembilan jam jika melalui laluan darat,” katanya.
**media[3534207]**
Dalam pada itu, Sayani berkata, operasi SAR yang memasuki hari keempat kini digerakkan secara berperingkat dengan penglibatan semua agensi termasuk 12 anggota Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).
Katanya, penggunaan anjing pengesan (K9) sukar dilaksanakan di kawasan berkenaan berikutan faktor logistik dan keperluan untuk menurunkan anggota menggunakan kaedah ‘winching’.
“Setakat ini, dua pasukan STORM telah digerakkan secara bergilir, dengan pasukan pertama beroperasi dari 25 hingga 27 Mei, manakala pasukan kedua bermula 27 Mei dan dijangka keluar pada 29 Mei.
“Operasi akan diteruskan dalam tempoh beberapa hari lagi dengan harapan mangsa dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
**media[3534208]**
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, Ahad lalu.






