Lagi kemudahan pembiayaan mikro RM5 bilion disediakan gerakkan ekonomi rakyat - PM Anwar 

LocalBusiness & Finance
14 May 2026 • 6:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lagi kemudahan pembiayaan mikro RM5 bilion disediakan gerakkan ekonomi rakyat - PM Anwar  Image from: Lagi kemudahan pembiayaan mikro RM5 bilion disediakan gerakkan ekonomi rakyat - PM Anwar  hamden14/05/2026 - 18:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Mei - Kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi menggerakkan ekonomi rakyat dan membuka lebih luas peluang meningkatkan taraf hidup.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan pembiayaan mikro ini dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro, dengan pinjaman sehingga RM100,000. 

 

Katanya, pelbagai skim pembiayaan akan disalurkan melalui agensi dan institusi kewangan pembangunan dengan  kadar pembiayaan yang ditawarkan adalah serendah 3% setahun.

 

Antara agensi tersebut termasuk seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Agrobank dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat). 

 

"Institusi kewangan berkaitan telah diarahkan supaya mempertingkat gerak kerja bagi mendekati seramai mungkin peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro yang memerlukan sokongan, khususnya mereka yang terhimpit oleh kekangan modal. 

 

"Pada masa sama, proses permohonan perlu dipermudah, syarat pembiayaan tidak membebankan dan pembiayaan diberi secara adil serta munasabah. 

 

“Ekonomi MADANI berpijak pada nilai ihsan, keadilan dan kesaksamaan. Kemudahan pembiayaan mikro ini mesti sampai kepada rakyat yang mahu menjana rezeki halal dan membina kehidupan yang lebih bermaruah,” katanya dalam kenyataan.

 

Terdahulu Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif agensi-agensi pembiayaan mikro, termasuk  AIM, BSN, TEKUN Nasional, Agrobank, MARA, SME Bank dan Bank Rakyat. 

 

Tambah beliau, kemudahan pembiayaan mikro ini ditujukan kepada pelbagai kumpulan rakyat dan usahawan mikro, termasuk peniaga kecil, penjaja pasar malam, wanita, belia, pekerja gig, lepasan TVET, kontraktor kecil, pesawah padi serta golongan asnaf. 

 

Kemudahan pembiayaan mikro ini adalah berasingan daripada kemudahan pembiayaan PMKS yang baru diumumkan, khususnya RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas PKS oleh Bank Negara Malaysia serta RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP). 

 

Secara keseluruhan, lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana pada tahun ini. - DagangNews.com

Terkini standard