PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kos subsidi bahan api negara kini mencecah RM5 bilion sebulan susulan ketidaktentuan harga minyak mentah global akibat perang negara Teluk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan mendadak itu jauh melepasi peruntukkan kerajaan yang sebelum ini sekitar RM700 juta sebulan ketika pengumuman subsidi Budi Madani RON95 (RON95) dibuat.
"Januari semasa saya umumkan subsidi RON95, kita tampung RM700 juta sebulan. Jadi saya fikir okey, Malaysia ini bukan negeri miskin sangat, kita letak RM700 juta.
"Selang berapa bulan naik RM5 bilion sebulan. Jadi saya masih kata okey, tapi Ketua Setiausaha Perbendahaan (KSP) dan KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) kata tidak boleh kerana dana yang ada ini tidak mampu menampung. Sebulan okey, dua bulan okey, tiga bulan, enam bulan.
“Kalau harga setakat sekarang, RM5 bilion satu bulan, bayangkan 10 bulan, RM50 bilion dari dana kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keadaan tersebut memerlukan penjawat awam memahami kekangan sebenar kerajaan dalam menguruskan subsidi bahan api agar tidak timbul salah faham dalam kalangan masyarakat.
"Penjawat awam harus tahu ya. Kadang-kadang ada yang tidak tahu, di bawah, di luar lain, ada yang tanya kenapa kos naik, kenapa harga minyak tak turun? RM1.99 patutnya turun lagi,"
"Mana-mana ketua jabatan dalam mesyuarat itu terangkanlah sikit. Tidak boleh kata ini urusan Kementerian Ekonomi atau Kementerian Kewangan, tak. Ini urusan kita,” jelas Anwar.
Beliau berkata, peningkatan kos subsidi turut mendorong kerajaan mengambil beberapa tindakan termasik penyelarasan subsidi diesel.
"Sekarang kita sudah usahakan penyelarasan subsidi untuk diesel kerana iya ada kebocoran, ketirisan dan penyeludupan.
"Tetapi langkahnya bukan untuk menaikkan harga yang akan membebankan petani, nelayan dan peniaga-peniaga di Sabah atau Sarawak," ujar Anwar.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan, ahli politik Semenanjung yang menyerang kerajaan kerana 'memberi laluan' keterlaluan kepada Sabah dan Sarawak tidak mengetahui mengenai demografi negeri berkenaan.
"Dia tidak tahu langsung permasalahan pengangkutan di sana. Sebab itu kita beri pertimbangan yang lain untuk Sabah dan
Sarawak.
"Tetapi untuk penyasaran subsidi hanya bagi mengelak ketirisan itu, ini yang kita lakukan.
"Jadi bagi saudara-saudara yang bicara tentang ada kenaikan diesel, harus juga terima kenyataan berapa orang yang dapat ini (subsidi), 25,000, 343,000 yang layak. Lebih 10,000 nelayan layak dan 200,000 penerima untuk Budi Madani.
"Jadi ini yang diberikan subsidi bersasar kepada yang layak. Kita tak bagi menyeluruh kepada semua," jelas beliau.
Dalam pada itu, Anwar mengakui peningkatan harga bahan api global berpunca daripada faktor luar termasuk konflik geopolitik di rantau Teluk yang menjejaskan rantaian bekalan dan kos logistik.
Jelasnya, ketegangan di Teluk Hormuz telah memberi kesan kepada laluan perdagangan minyak dunia sekali gus meningkatkan kos penghantaran dan insurans.
“Harga itu ditambah pertama, kos fret (freight) bertambah, kedua, kos insurans bertambah. Jadi ketiga melibatkan keselamatan anak-anak kapal, syarikat dan oleh itu harga melambung tinggi,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan Malaysia masih berada dalam kedudukan selesa dari segi bekalan minyak dan gas hasil hubungan baik dengan beberapa negara pengeluar seperti Rusia dan Turkmenistan.
"Bekalan memang ada. Kita bernasib baik kerana Malaysia di antara negara ASEAN yang terjamin bekalan minyak dan gasnya.
"Semalam Tan Sri Mohd Hassan Marican (Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis MTEN) beri maklumat terkini dari PETRONAS
tentang usaha-usaha kita.
"Oleh kerana kita berbaik dengan Iran, di antara negara yang mula diberi laluan setelah Presiden Iran menghubungi dan memaklumkan kepada saya.
"Dengan Rusia kita ada hubungan baik. Dengan Turkmenistan dan Uzbekistan juga kita ada hubungan baik sekian lama, (mereka) beri jaminan,"katanya.





