Lagi mengenai laporan kes kehilangan. Polis kini sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak enam hari lalu di Kuala Pilah.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan remaja itu, Muhammad Adi Putra Yusri pada Isnin jam lebih kurang 8.13 malam.
Berdasarkan siasatan, katanya remaja berkenaan pernah keluar rumah namun pulang semula.
Dimaklumkan juga, tiada pergaduhan yang berlaku dengan keluarganya sebelum ini.
“Lokasi terakhir dia dilihat adalah sekitar Ampang Tinggi dekat Tanjong Ipoh pada 11 Julai lalu. Dia memakai baju kemeja-T lengan pendek warna hijau, seluar pendek warna hitam dan berselipar,” katanya.
Tambahnya lagi, fizikal remaja berkenaan dia berkulit hitam manis, berketinggian 180 sentimeter (cm), berbadan kurus dan berambut pendek warna keperangan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja berkenaan boleh tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06-4842222,” katanya.
The post Lagi kes hilang, polis kesan Muhammad Adi Putra appeared first on The Reporter.


