

Satu rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan sebuah kereta Proton Saga dipandu melawan arus di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) , baru-baru ini.
Klip video itu menunjukkan kebanyakan kenderaan yang berada di laluan tersebut sempat mengelak Proton Saga berkenaan.
Malah, pemilik dashcam juga kedengaran terkejut dan menjerit apabila Proton Saga itu memandu secara lawan arus namun pemandu berkenaan sempat mengelak.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya sedang giat dilakukan bagi mengesan pemandu terbabit.
"Setakat ini, tiada laporan diterima berhubung kejadian tersebut, namun usaha mengesan pemandu berkenaan sedang giat dilakukan," katanya.
Terdahulu, tular rakaman video 'dashcam' berdurasi 24 dan 25 saat memaparkan sebuah kereta dipandu dalam keadaan berbahaya dan mengejutkan pengguna jalan raya yang lain.




