Tular Tuang Tar Ke Jalan Lubang Guna Cerek, Kerja Selenggara Jalan Di Papar Tarik Perhatian Ramai

14 Mar 2025 • 11:04 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Rakyat Sabah Tuntut Kualiti Jalan Lebih Baik

Tular Tuang Tar Ke Jalan Lubang Guna Cerek, Kerja Selenggara Jalan Di Papar Tarik Perhatian Ramai. Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan pekerja penyelenggaraan jalan di Papar, Sabah, menggunakan cerek dapur untuk menuang tar ke dalam sebuah lubang jalan (pothole).

Situasi ini mendapat perhatian ramai, terutamanya selepas Ketua Pengarah Pilihan Raya Sabah Umno, Jeffery Nor Mohamed, menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat konsesi yang bertanggungjawab menyelenggara jalan.

image is not available

Isyarat Mutu Penyelenggaraan Jalan Perlu Disemak Semula

Menurut Jeffery, beliau percaya kaedah “cerek ajaib” ini bukanlah kali pertama digunakan. Beliau mempersoalkan sama ada kejadian ini sekadar kes terpencil atau mencerminkan mutu penyelenggaraan jalan yang secara umumnya lemah di Sabah. Ketidakpuasan ini semakin memuncak apabila mengambil kira kes-kes kemalangan yang mengorbankan nyawa akibat keadaan jalan berlubang.

Walaupun Menteri Kerja Raya Persekutuan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengesahkan jalan di Papar tersebut bukan di bawah projek persekutuan tetapi dikendalikan oleh syarikat konsesi negeri, beliau menegaskan pihaknya serius dalam menangani isu ini dan sudah meminta siasatan dijalankan. Syarikat konsesi terbabit juga telah diingatkan supaya mengikut prosedur dan mengutamakan kualiti serta keselamatan.

Namun, bagi Jeffery, sekadar peringatan tidak mencukupi. Beliau menyarankan agar kontrak yang terlalu panjang kepada syarikat konsesi disemak semula. Jika syarikat terbabit gagal beberapa kali dan tidak menunjukkan peningkatan, kerajaan perlu mengambil tindakan lebih keras, termasuk menamatkan kontrak mereka.

Bagi Jeffery, pembaharuan mendesak perlu dijalankan agar syarikat-syarikat konsesi ini lebih kompetitif dan bertanggungjawab. Beliau turut mencadangkan kontrak penyelenggaraan jalan dihadkan kepada tempoh tidak lebih tiga tahun bagi memastikan syarikat terlibat sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik.

Selain isu jalan berlubang, Jeffery juga menekankan perlunya tindakan tegas terhadap masalah infrastruktur yang lebih meluas di Sabah, seperti bekalan air dan elektrik. Beliau menegaskan semua pihak perlu mengutamakan penyelesaian praktikal, bukan sekadar berpolitik, demi kebajikan rakyat.

Baca juga cerita semasa di bawah: