
KUALA LUMPUR - Nahas melibatkan pemandu mabuk nampaknya masih terus berlaku, meskipun hukuman keras sudah mula dilaksanakan.
Terbaru, seorang penunggang motosikal cedera parah selepas dirempuh pemandu mabuk yang memandu melawan arus.
Insiden tersebut berlaku di Persiaran Kota, Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu menyebabkan mangsa, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an, tercampak dan mengalami kecederaan serius pada badan serta kaki kanannya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Bezza yang dipandu suspek, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, dari arah Pelabuhan Klang menuju Shah Alam dipercayai dipandu secara melulu dan melawan arus sejauh kira-kira 3.5 kilometer sebelum merempuh motosikal mangsa.
“Keputusan ujian saringan awal mendapati pemandu kereta tersebut positif alkohol. Suspek telah ditahan segera untuk tindakan lanjut dan permohonan reman diperoleh sehingga 15 Mei bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.
Jit Huey berkata, suspek jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum tujuh tahun hingga 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000 selain lesen memandu digantung.
Getaran difahamkan, mangsa sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, manakala suspek hanya mengalami kecederaan ringan.
Jit Huey turut meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairulnizam Abdul Talib atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Getaran, 14 Mei 2026



![Pemandu Mabuk Lawan Arus Rempuh Penunggang Motosikal Hingga Cedera Parah, Suspek Sudah Ditahan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/pemandu-mabuk-lawan-arus-ditahan-reman-800x467.jpg?t=1778747309)


