
KUALA LUMPUR - Empat remaja, termasuk tiga pelajar sekolah di Baling, Kedah ditahan polis kerana disyaki terlibat rogol berkumpulan dan menyebar bahan lucah di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Ahmad Salimi Mat Ali, berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu berusia 53 tahun pada Ahad lalu, kira-kira jam 11 pagi selepas guru disiplin memaklumkan pengadu mengenai penularan rakaman video bogel anaknya.
Berikutan itu, tiga pelajar sekolah berkenaan dan seorang lagi bekas pelajar sekolah sama, ditahan pada jam 9.30 malam pada hari sama untuk membantu siasatan.
"Hasil siasatan lanjut mendapati, empat suspek terbabit didapati melakukan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi dalam kelas sekolah berkenaan.
"Berikutan itu, semua suspek ditahan dan direman lima hari mulai tarikh mereka ditangkap dan merampas enam telefon bimbit untuk siasatan lanjut," katanya lapor BH.
Kes disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol berkumpulan dan menghantar pornografi kanak-kanak, kata Ahmad Salimi.
Tegas beliau, polis memandang serius insiden itu dan menggesa ibu bapa serta penjaga memantau kegiatan anak-anak remaja mereka. - 16 Oktober, 2025
The post Lagi kes rogol berkumpulan di sekolah: 3 pelajar, seorang bekas pelajar ditahan appeared first on Scoop.
