Lagi kes tikam

19 May 2026 • 7:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lagi kes tikam
Kes tikam semakin kerap berlaku sehingga ramai mula merasakan jenayah bunuh seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat hari ini.

KEJADIAN tikam dan bunuh yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat.

Ada sahaja laporan jenayah melibatkan pertumpahan darah sehingga ramai mula merasakan kes bunuh seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat hari ini.

Apa yang lebih membimbangkan, ramai melihat penjenayah kini semakin berani melakukan pembunuhan tanpa rasa takut terhadap undang-undang.

Sikap panas baran, gagal mengawal emosi dan bertindak sesuka hati mungkin menjadi antara faktor utama peningkatan kes jenayah ganas sekarang.

Terbaharu, seorang wanita ditikam di bahagian leher ketika berada di dalam sebuah kereta di hadapan restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas pada malam Ahad.

Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, polis percaya unsur cemburu menjadi motif awal kejadian, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kes tersebut.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek dan mangsa sudah saling mengenali sejak lebih setahun lalu.

Beberapa minggu sebelum itu, seorang penuntut kolej wanita berusia 19 tahun yang ditemui maut di Ketereh, Kelantan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius tikaman berganda di bahagian dada.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II mendapati mangsa, Nurfisya Zulkifly, 19, mengalami pelbagai kesan tikaman dengan jumlah 61 tikaman di beberapa bahagian badan termasuk dada.

Kes tersebut mengundang kemarahan ramai kerana jumlah tikaman yang terlalu banyak dilihat sebagai tindakan ganas di luar kawalan.

Jelas menunjukkan manusia hari ini semakin hilang pertimbangan apabila marah sehingga sanggup bertindak kejam tanpa memikirkan akibat.

Lebih mengejutkan pelakunya bukan dilakukan oleh orang yang tidak dikenali, sebaliknya melibatkan individu mempunyai hubungan rapat dengan mangsa selain berani melakukan di tempat terbuka.

Oleh itu, individu yang melakukan jenayah berat seperti bunuh tidak sepatutnya diberi terlalu banyak peluang untuk merayu bagi mengurangkan hukuman.

Dalam masa sama, penulis memuji kecekapan pihak polis yang berjaya menahan suspek dengan cepat dalam dalam kedua-dua kes tersebut.

Tindakan pantas pihak berkuasa sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa setiap jenayah tetap akan diburu dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Tahniah Polis Diraja Malaysia (PDRM).