KES kehilangan remaja yang semakin kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini mula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Dalam tempoh hanya beberapa minggu, beberapa laporan melibatkan remaja lelaki dan perempuan hilang menjadi perhatian umum termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilapor hilang 9 Mei lalu.
Terbaharu, perhatian turut tertumpu kepada seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sebelum ditemui berada di rumah rakannya.
Apa yang membuatkan ramai tersentak bukan sekadar kehilangannya, tetapi pengakuan remaja itu sendiri yang mendakwa dia keluar rumah kerana bosan dan tiada kawan untuk bersembang.
Walaupun alasan itu kedengaran ringkas, hakikatnya ia membuka gambaran lebih besar tentang realiti kehidupan remaja hari ini yang semakin kompleks dan rapuh dari sudut emosi.
Dalam dunia yang dipenuhi media sosial dan komunikasi tanpa sempadan, ramai anak muda sebenarnya hidup dalam kesunyian walaupun sentiasa kelihatan connected secara digital melalui telefon pintar dan pelbagai platform sosial.
Kes kehilangan remaja hari ini juga tidak lagi boleh dilihat sekadar isu disiplin atau kenakalan biasa.
Dalam banyak keadaan, ia berkait rapat dengan tekanan emosi tidak disedari, konflik keluarga yang tidak diselesai dengan baik, masalah kesihatan mental tidak dirawat serta pengaruh hubungan dalam talian yang semakin sukar dikawal ibu bapa dan penjaga.
Generasi remaja hari ini membesar dalam dunia digital yang membuka ruang luas berkenalan dengan sesiapa sahaja.
Walaupun teknologi membantu mereka bersosial dan membina komuniti, ia juga membawa risiko baharu apabila sempadan antara dunia sebenar dan dunia maya semakin kabur.
Ramai remaja mudah mempercayai individu yang dikenali melalui media sosial kerana merasakan mereka lebih memahami, mendengar dan memberi perhatian berbanding orang di sekeliling dalam kehidupan sebenar.
Dalam sesetengah keadaan, hubungan dalam talian ini boleh berkembang sehingga membawa kepada pertemuan dengan individu tidak dikenali, manipulasi emosi, eksploitasi kepercayaan atau situasi berbahaya yang akhirnya mengundang masalah lebih serius.
Lebih membimbangkan, ada remaja sanggup keluar rumah untuk bertemu kenalan dalam talian tanpa benar-benar memahami risiko yang menanti mereka.
Pada usia yang masih muda dan sedang mencari identiti diri, mereka mudah terpengaruh dengan perhatian, pujian dan rasa 'diterima' yang mungkin tidak diperoleh dalam kehidupan sebenar bersama keluarga atau rakan sebaya.
Sebab itu, isu kehilangan remaja hari ini memerlukan perhatian lebih serius daripada ibu bapa, pendidik dan masyarakat secara keseluruhan.
Pemantauan tidak lagi boleh tertumpu kepada keberadaan fizikal anak-anak semata-mata, tetapi juga perlu melibatkan pemahaman terhadap aktiviti digital mereka termasuk siapa yang mereka berinteraksi dan bagaimana hubungan dibina dalam ruang dalam talian yang semakin luas.
Justeru, dalam dunia digital yang semakin terbuka, ibu bapa perlu membina komunikasi lebih jujur dan terbuka dengan anak-anak termasuk bercakap secara konsisten tentang keselamatan internet, risiko mempercayai orang asing serta bahaya bertemu individu yang dikenali secara dalam talian tanpa pengetahuan keluarga.
* Syahirah Mokhtazar ialah Editor Pop Family






