

Seorang anggota polis maut akibat terjatuh dan terseret di jalan raya ketika motosikalnya melanggar tayar lori yang dipercayai tercicir di Kilometer 140.6 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Seberang Perai, awal pagi, semalam.
Mangsa berusia 40 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Dalam kejadian itu, dua lagi mangsa yang merupakan pemandu kereta turut dilaporkan cedera dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal itu kira-kira pukul 6 pagi.
Siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dalam perjalanan dari arah Juru menghala ke Seberang Jaya dipercayai melanggar tayar di tengah jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri lebuh raya.
“Pada masa sama, sebuah motosikal yang datang dari arah sama turut melanggar tayar berkenaan menyebabkan penunggangnya terjatuh dan terseret di permukaan jalan.
Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta bersama dua penumpangnya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan.






