Nahas di Gerik: Kereta hilang kawalan ketika memotong punca dua maut

LocalCars
26 Jun 2026 • 9:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nahas di Gerik: Kereta hilang kawalan ketika memotong punca dua maut
Kemalangan maut di Jalan Kuala Kangsar–Gerik–Pengkalan Hulu telah mengorbankan seorang pegawai polis dan guru.

GERIK – Kemalangan maut mengorbankan anggota polis dan seorang guru di Kilometer 29.3 Jalan Kuala Kangsar–Gerik–Pengkalan Hulu di sini pada Khamis dipercayai berpunca daripada kenderaan hilang kawalan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, mangsa yang maut ialah pemandu kereta Toyota Vios, Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dan seorang penumpang Honda Odyssey, Zuraida Abu Bakar, 47, yang merupakan guru di Kolej Vokasional Gerik.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal mendapati Toyota Vios yang dipandu Melvindar dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Kuala Kangsar.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung secara berdepan dengan sebuah Honda Odyssey.

"Kereta Honda Odyssey itu dipandu seorang guru wanita berusia 44 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menuju ke Gerik bersama lima lagi penumpang yang kesemuanya merupakan guru berusia antara 29 hingga 55 tahun.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Vios mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang penumpang Honda Odyssey pula meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Abdul Samad berkata, mangsa-mangsa lain yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggong dan Hospital Kuala Kangsar bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Daerah Gerik untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Abdul Samad menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan kemalangan.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan seorang guru wanita maut selepas kenderaan dinaiki bertembung di Kilometer 30, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu di sini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved