Lagi pengeboman israel, 4 tentera Syria terkorban

8 Aug 2023 • 11:41 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

DAMSYIK: Rejim israel menyerang Syria sekali lagi, membunuh dan mencederakan beberapa tentera. Serangan pada Isnin malam itu adalah yang terbaru dalam siri panjang pengeboman israel di negara yang masih dilanda perang itu.

Pertahanan udara Syria diaktifkan semalaman untuk memintas serangan peluru roket musuh di sekitar ibu kota negara itu Damsyik, agensi berita SANA melaporkan.

Beberapa letupan kedengaran di ibu negara Syria sejurus selepas 2:20 pagi, langit seolah kilat menerangi langit, berdasarkan rakaman video yang diimuat naik ke media sosial.

“Musuh (israel) melakukan serangan udara dari arah Bukit Golan yang dicerobohi, menyasarkan beberapa titik di sekitar bandar Damsyik,” menurut sumber tentera Syria kepada SANA.

Seramai 4 anggota tentera Syria terbunuh dan 2 pejuang disokong Iran turut maut dalan serangan udara israel berhampiran Damsyik itu.

Sumber tentera turut melaporkan, serangan udara itu turut merosakkan beberapa infrastruktur.

Sepanjang lebih 10 tahun peperangan di Syria, israel melancarkan ratusan siri serangan udara ke negara itu, dengan sasaran utama terhadap pasukan yang disokong Iran serta pejuang Hezbollah, selain kedudukan tentera Syria.

Meskipun israel jarang mengulas serangan yang dijalankan di Syria, rejim itu berulang kali menegaskan pendirian untuk tidak membenarkan musuhnya, Iran untuk bertapak di sana.

Pada 19 Julai lalu, israel melancarkan serangan udara berhampiran Damsyik yang membunuh 3 pejuang pro-kerajaan dan mencederakan empat yang lain, dengan SANA ketika itu melaporkan dua anggota tentera mengalami kecederaan.

Dalam laporan itu, SANA memetik sumber tentera yang memaklumkan pengeboman itu menyasarkan beberapa kedudukan di sekitar Damsyik.

Ia juga menggesa badan dunia itu mengambil tindakan segera untuk memaksa entiti yang menceroboh menghentikan dasar jajahan agresifnya.