Lagu dia bawa kamu nyanyi di persada, tanyalah khabar komposer – Ramli M.S

Music
19 Aug 2026 • 4:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lagu dia bawa kamu nyanyi di persada, tanyalah khabar komposer – Ramli M.S

SHAH ALAM: Maestro muzik negara, Datuk Ramli M.S., menasihati penyanyi supaya tidak melupakan jasa komposer yang menghasilkan lagu untuk mereka, sebaliknya terus menghargai hubungan walaupun sekadar bertanya khabar.

Menurut Ramli, sumbangan komposer terhadap kerjaya seseorang penyanyi tidak seharusnya dilupakan kerana lagu yang dihasilkan boleh membuka lebih banyak peluang persembahan serta memberi pulangan lumayan kepada artis.

“Sebagai orang Melayu, kita ada adab yang sangat jaya. Ingatlah orang yang memberikan lagu kepada kamu. Ya, kamu boleh kata penyanyi pun menyumbang bakti, tetapi komposer memegang 51 peratus, penyanyi 49 peratus sahaja.

“Lagu itu membawa kamu mendapat banyak kerja dan bernyanyi di persada. Jadi, apabila teringat jasa komposer itu, jenguk-jenguklah. Tidak ada isu apa-apa dan saya harap tidak ada pihak yang menjadikannya sebagai isu.

“Ini nasihat umum sahaja kerana saya ada ramai kawan komposer yang pernah menghasilkan lagu hit berbanding zaman sekarang. Jadi, perkara itu sudah berlaku berpuluh-puluh tahun.

“Pesanan saya, ingatlah jasa mereka. Ini pesanan untuk budak-budak sekarang supaya trend ini tidak bersambung sampai 100 tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysiasejurus selepas Konsert Akhir Big Stage Rocketfuel, baru-baru ini.

Tambahnya, kerjaya menghasilkan lagu untuk seseorang artis merupakan satu bentuk sumbangan yang berpanjangan, apatah lagi sekiranya lagu berkenaan mencetuskan fenomena, sekali gus membuka ruang kepada penyanyi untuk menjadi lebih popular dan menerima tawaran persembahan dengan bayaran lumayan.

“Ia melibatkan wang yang banyak. Ada banyak pecahan. Penyanyi boleh minta RM30,000 untuk satu malam. Kalau dalam sebulan ada 10 persembahan, sudah dapat RM300,000.

“Komposer pula? Kalau untuk tempoh 20 tahun, bagaimana? Jadi, bertanya khabar pun cukuplah. MACP (Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Malaysia) pun tidak seberapa,” katanya.

Sehubungan itu, Ramli berkata, ramai komposer kini lebih selesa membuat perjanjian khas dengan syarikat rakaman kerana pulangan yang diperoleh dilihat lebih menguntungkan.

“Syarikat rakaman sekarang mengambil 70-30. Kalau penyanyi menyanyikan lagu mereka di mana-mana, mereka akan mendapat 30 peratus, manakala selebihnya artis ambil. Mereka mahukan pulangan itu.

“Mereka tidak lagi melalui MACP. Kalau mahu lagu, kamu kena berurusan terus dengan komposer seperti M. Nasir. Kalau kamu mahu lagu daripada beliau, kena bayar.

“Beberapa komposer sudah mula berbuat begitu. Bukan saya kata tidak boleh, cuma pengiraan marginnya berbeza,” katanya. -UTUSAN

The post Lagu dia bawa kamu nyanyi di persada, tanyalah khabar komposer – Ramli M.S appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved