Lagu ‘Hello Kuala Lumpur’ Didakwa Ciplak Lagu Patriotik Negara Jiran, Cetus Kemarahan Netizen Indonesia

Entertainment
13 Sep 2023 • 11:24 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Heboh di media sosial Indonesia mengenai sebuah video lagu kanak-kanak bertajuk ‘Hello Kuala Lumpur’ di YouTube yang dikatakan berasal dari Malaysia.

Lagu terbabit menerusi saluran Lagu Kanak TV itu didakwa mempunyai lirik dan melodi yang mirip dengan lagu patriotik Indonesia iaitu ‘Halo Halo Bandung’ ciptaan Ismail Marzuki.

Menurut laporan, video lagu itu dimuat naik pada 2018 dan sekali lagi pada 2020 di saluran sama. Hal ini membuatkan netizen Indonesia berasa berang dan menuduh ia diciplak.

image is not available

Dalam video lagu itu, dapat dilihat animasi kanak-kanak yang sedang bergembira dengan latar imej bercirikan Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar Petronas dan juga bendera Malaysia.

Susulan isu itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata pihaknya masih mengumpul bukti berhubung dakwaan plagiarisme.

“Kami masih mengumpul maklumat yang lebih lengkap,” katanya.

Saluran YouTube dimiliki syarikat berasal dari India

Bagaimanapun, semakan di internet mendapati bahawa saluran Lagu Kanak TV dimiliki sebuah syarikat yang beralamat di Hyderabad, Telangana, India.

Difahamkan, syarikat itu menghasilkan pelbagai kandungan siaran termasuk kandungan YouTube yang menghimpunkan pelbagai lagu kanak-kanak dari beberapa negara.

Selain lagu kanak-kanak dari Malaysia dan Indonesia, syarikat itu juga turut mempunyai koleksi lagu kanak-kanak dari negara seperti Rusia, Filipina, Jepun, Sepanyol, Arab, dan banyak lagi.

Admin pun baru pertama kali dengar lagu Hello Kuala Lumpur…

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.