Lagu janaan AI tidak boleh didaftar: MACP

LocalMusic
25 Aug 2025 • 7:06 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

WALAUPUN belum menerima kes seumpamanya organisasi pengurusan kolektif industri muzik Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) mengatakan ia hanya akan melindungi karya yang dihasilkan sepenuhnya oleh manusia.

Ahli Lembaga Pengarah Pencipta MACP wakil Malaysia Timur Roger Wang berkata karya yang dihasilkan sebahagiannya dengan bantuan janaan kecerdasan buatan (AI) juga tidak akan diterima untuk pendaftaran.

“Berdasarkan undang-undang harta intelek di Malaysia sesebuah karya mestilah dihasilkan sepenuhnya oleh manusia untuk membolehkannya menerima perlindungan hak cipta.

“Karya janaan AI tidak boleh menerima perlindungan ini. Walaupun mungkin ada pencipta lagu yang mengatakan lirik ditulis oleh mereka sendiri tetapi melodi menggunakan bantuan AI mereka tidak boleh mendaftarkan keseluruhan lagu terbabit.

“Mereka mungkin boleh melindungi (copyright) lirik karya itu tetapi bukan melodinya,” katanya ketika ditemui selepas program MACP Jelajah Malaysia Timur (Sabah) 2025 di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Setakat ini katanya badan terbabit masih belum menerima kes sedemikian.

“Kami sedar ada kes pengkarya yang menghantar lagu janaan AI ke stesen radio tetapi bagi MACP setakat ini kami belum menerima kes seperti itu.

“Pada masa ini ahli MACP mesti mengisytiharkan bahawa karya mereka tidak ditulis atau dihasilkan dengan bantuan AI.

“Bagaimanapun jika kami menerima aduan siasatan akan dijalankan bagi menentusahkannya,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai jurang dari segi pembayaran royalti yang diterima pencipta lagu dalam industri muzik arus perdana berbanding di Sabah Roger berkata ia bergantung kepada jumlah audiens dan populariti lagu terbabit.

“Apa yang berlaku di Sabah ialah media outlet di sini tidak banyak seperti di Semenanjung.

“Selain saluran televisyen dan radio RTM, stesen radio dan media swasta yang ada di Sabah jumlahnya terlalu sedikit.

“Oleh itu sekiranya lagu pengkarya itu hanya dimainkan dalam kelompok ini sudah tentu pendapatan royalti yang diterima agak terhad.

“Namun hari ini pengkarya juga boleh menerima royalti daripada platform digital kerana MACP telah melesenkan pelbagai platform seperti Disney+, YouTube, Meta, TikTok, Spotify dan Apple Music,” katanya.

Ketika ini katanya MACP mempunyai kira-kira 200 ahli berdaftar di Sabah daripada hampir 5,000 ahli di seluruh negara.

Seramai lebih 100 komposer, penulis lirik, artis dan pempengaruh menghadiri program pada Sabtu itu.

Antara pengisian utama ialah sesi perkongsian Ruang Sembang bersama MACP dan Apa Kata Penerbit Muzik?. Acara ini turut menyajikan sesi Rentak Borneo, Irama Negeri Di Bawah Bayu yang menampilkan komposer, penyanyi dan penyampai radio Velvet Aduk bersama komposer serta penulis lirik Nazri Saidali.

Sesi-sesi lain termasuk Riuh Bah Bersama KupiKupi FM dan persembahan istimewa daripada artis-artis tempatan.