Anugerah MACP perkenal kategori muzik etnik Sabah, Sarawak

LocalMusic
24 Aug 2025 • 10:56 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

BADAN Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) akan memperkenalkan dua kategori baharu bagi muzik etnik Sabah dan Sarawak pada Anugerah MACP bermula tahun depan.

Ahli Lembaga Pengarah Pencipta MACP wakil Malaysia Timur Roger Wang berkata langkah itu antara usaha badan pengutip royalti (CMO) berkenaan untuk lebih inklusif selain mengiktiraf karya etnik dari kedua-dua negeri terbabit.

“Kami Ahli Lembaga Pengarah Pencipta MACP telah memutuskan atas cadangan saya untuk memperkenalkan kategori baharu yang memfokuskan muzik etnik Sabah dan Sarawak bermula tahun depan.

“Keputusan ini dibuat kerana Sabah dan Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai industri muzik sendiri berasaskan bahasa etnik masing-masing.

“Selama ini lagu-lagu etnik ini hanya popular di Sabah dan Sarawak sedangkan ramai tidak menyedari bahawa kita di Malaysia memiliki industri yang sangat ‘vibrant’.

“MACP mengiktiraf perkara ini dan melalui pengenalan kategori tersebut ia juga menjadi salah satu cara kami untuk mempromosikan muzik etnik Sabah dan Sarawak ke pasaran lebih meluas,” katanya ketika ditemui selepas program MACP Jelajah Malaysia Timur (Sabah) 2025 pada Sabtu.

Beliau berharap penambahan kategori itu dapat membantu lagu serta komposer etnik di kedua-dua negeri terbabit menerima pengiktirafan lebih luas di luar Sabah dan Sarawak.

Menurutnya MACP masih dalam proses memuktamadkan nama kategori berkenaan namun anugerah akan ditentukan berdasarkan pengumpulan pendapatan lagu.

“Memandangkan MACP adalah agensi pengutip royalti maka data kami berasaskan jumlah kutipan pendapatan.

“Kami juga sedang meneliti sama ada penilaian dibuat berdasarkan sebuah lagu atau pendapatan keseluruhan komposer untuk tahun berkenaan tetapi asasnya tetap daripada data pendapatan MACP,” jelasnya.

Roger berkata pihaknya juga sedang memperhalusi kriteria untuk mendefinisikan lagu etnik bagi kategori berkenaan.

“Industri muzik di Sabah dan Sarawak unik kerana ada lagu yang mungkin menggunakan bahasa Melayu namun daripada segi slang dan konteks ia masih tergolong sebagai muzik etnik.

“Contohnya lagu Sayang Kinabalu. Walaupun kebanyakan liriknya dalam bahasa Melayu, melodi, rentak dan rujukannya sangat lokal. Slang juga lokal jadi lagu ini boleh dianggap sebagai lagu etnik.

“Terpulang kepada komposer untuk mendefinisikan karya mereka apabila menghantar ke MACP sama ada mahu dikategorikan sebagai lagu etnik Sabah atau Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu Roger menafikan pengenalan dua kategori baharu itu bertujuan menyaingi CMO tempatan di kedua-dua negeri iaitu Music Right Sabah (MRS) Berhad dan Music Right Sarawak Berhad (MRSB).

Katanya dalam konteks Sabah MACP tidak menentang MRS sebaliknya percaya penubuhan MRS menjadi pelengkap kepada peranan badan itu dalam memastikan royalti lagu dapat dikutip secara menyeluruh tanpa sebarang pendapatan terlepas.

“Hakikatnya kami melihat penubuhan MRS sebagai satu perkembangan yang positif kerana ini menunjukkan penulis lagu di Sabah semakin memahami hak mereka dan mahukan cara tersendiri untuk menguruskan hak serta royalti lagu mereka.

“Bagaimanapun fokus MRS hanya pada muzik etnik di Sabah manakala MACP lebih meluas kerana meliputi semua bahasa yang ada di Malaysia dan antarabangsa.

“Contohnya sekiranya komposer itu bukan sahaja mencipta lagu etnik tetapi juga lagu dalam bahasa Melayu MACP adalah pilihan yang lebih baik.

“Tetapi jika penulis hanya menghasilkan lagu etnik maka mereka boleh memilih MRS kerana itu memang fokus dan perjuangan mereka iaitu menyokong lagu etnik.

“Oleh itu bagi saya MACP dan MRS mempunyai peranan masing-masing namun setiap penulis lagu hanya boleh mendaftar dengan satu CMO,” katanya.

Mengenai program MACP Jelajah Malaysia Timur (Sabah) 2025 pada Sabtu itu Roger berkata ia bertujuan mengeratkan hubungan dengan komuniti kreatif di negeri ini serta meningkatkan kesedaran tentang perlindungan hak cipta.

Katanya kehadiran lebih 100 komposer, artis, penulis lirik dan pempengaruh pada program itu merupakan satu permulaan yang baik bagi MACP di Sabah.

“Saya berharap ini akan menjadi langkah awal kepada lebih banyak aktiviti pada masa hadapan.

“Saya yakin inisiatif sebegini mampu memartabatkan lagi industri muzik tempatan dan melahirkan lebih ramai bakat baharu yang berkualiti khususnya di negeri ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MACP Mary Yap berkata pihaknya berharap acara jelajah ini menjadi platform berkesan untuk menyampaikan maklumat penting mengenai hak cipta dan hak ekonomi secara langsung kepada komuniti kreatif di Sabah.

“Penganjuran program ini merupakan usaha berterusan MACP untuk mewujudkan ekosistem muzik yang komprehensif khususnya bagi pencipta muzik di Sabah.

“Usaha ini turut merangkumi perlindungan lagu tempatan termasuk lagu etnik Sabah serta lagu antarabangsa,” katanya.

Menurutnya MACP telah melesenkan pelbagai platform digital seperti Disney+, YouTube, Meta, TikTok, Spotify dan Apple Music selain premis perniagaan, stesen radio dan televisyen.

“Ahli MACP akan menerima royalti Hak Persembahan daripada semua platform berlesen ini. Oleh itu keahlian MACP amat penting bagi penggiat seni agar tidak terlepas daripada sumber pendapatan tersebut,” katanya.

MACP turut menyeru sokongan penuh daripada pihak berkuasa tempatan di Sabah iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk bekerjasama dalam melindungi dan menguatkuasakan hak cipta karya seni tempatan.

“MACP berhasrat agar penggiat seni di Sabah memahami bahawa karya mereka mempunyai nilai yang sangat besar bukan sahaja dari aspek seni tetapi juga sudut ekonomi.

“Dengan pemahaman yang betul mereka dapat melindungi karya, menjana pendapatan yang adil dan memastikan hasil seni lebih terpelihara,” katanya.