
Kota Kinabalu: Persembahan lagu Original Sabahan – yang dipopularkan kumpulan Atmosfera pada 2018 – oleh gabungan Malaysian Armed Forces (MAF) Band dan Pacific Partnership Band mencuri perhatian pada Majlis Pembukaan Pacific Partnership 2026 (PP26) di Dewan Mengkabong, Kampus Intan Sabah pada Khamis.
Persembahan itu menjadi antara acara utama yang menyerikan majlis selain persembahan tarian alu-aluan oleh Persatuan Kebudayaan Tamparuli dan persembahan nyanyian oleh Pentarama.
Majlis turut menyaksikan ketibaan peserta PP26 dan tetamu jemputan diikuti ketibaan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama (AKS J7) dan Komander Misi PP26, First Admiral Mohd Adzam Omar serta Captain Robert Reyes.
Turut hadir, Komander Angkatan Bersama (PAB) Leftenan Jeneral Datuk Sri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Chargé d’Affaires Amerika Syarikat, David H. Gamble Jr.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan Komander Angkatan Bersama sebelum ucapan pembukaan oleh Chargé d’Affaires Amerika Syarikat, diikuti gimik pembukaan menggunakan sumpit tradisional serta sesi bergambar berkumpulan.
PP26 adalah misi pelbagai hala antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan United States Pacific Command (USPACOM) melalui United States Pacific Fleet (USPACFLT) yang berlangsung di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dari 2 hingga 15 September 2026.
Misi yang berteraskan bantuan kemanusiaan itu menggunakan pendekatan Subject Matter Expert Exchange (SMEE) dan Field Training Exercise (FTX), merangkumi empat komponen utama iaitu program kejuruteraan awam, kesihatan awam, pengurusan bencana serta libat urus masyarakat.
Antara pengisian utama termasuk projek membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur di Sekolah Kebangsaan Babagon Toki, Inanam, selain kerja pengubahsuaian ruang menunggu pesakit luar di Klinik Kesihatan Telipok.
Dalam aspek kesihatan pula, program melibatkan aktiviti kesihatan di sekolah terpilih sekitar Kota Kinabalu, Community Health Engagement (CHE) di Tamparuli serta simposium perubatan di Kampus Intan Sabah.
Komponen pengurusan bencana merangkumi acara kemuncak latihan penyelamatan mencari dan menyelamat maritim yang mensimulasikan operasi menyelamat kemalangan feri dan kapal dagang di Teluk Sepanggar, manakala program libat urus masyarakat diperkaya dengan aktiviti pendidikan serta persembahan muzik oleh Army N’Separang Band, Navy Terumbu Band dan Pacific Partnership Band.
PP26 turut membabitkan negara rakan kongsi termasuk Australia, Kanada, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan United Kingdom dengan keseluruhan 376 pegawai dan anggota dari negara yang mengambil bahagian.
Program berkenaan dijadual diteruskan dengan pelbagai aktiviti termasuk Community Health Engagement dan persembahan Pacific Partnership Band di Imago Shopping Mall pada 5 September, Pacific Partnership Fair di Padang Merdeka pada 12 September serta majlis penutupan PP26 di Kampus Intan Sabah pada 14 September.




