
KUALA LUMPUR: Viu Original, Cinta Dalam Sekam terus mencuri perhatian penonton apabila kekal sebagai siri nombor satu di Viu Malaysia sepanjang enam minggu tayangan sejak episod pertamanya disiarkan pada 16 Julai lalu.
Menjelang kemuncak cerita, lebih 200 peminat hadir memeriahkan Watch Party Episod 11 Cinta Dalam Sekam yang berlangsung di WOW Plaza, LaLaport Bukit Bintang City Centre, di sini, baru-baru ini.
Acara berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peminat menonton episod terbaharu bersama barisan pelakon, malah membuka ruang untuk mereka beramah mesra serta berinteraksi secara lebih dekat dengan bintang siri berkenaan.
Antara tarikan utama acara ialah kemunculan Amir Ahnaf yang membuat kejutan dengan mempersembahkan single sulungnya, Gadis Melayu Terakhir, di hadapan para peminat.
Persembahan tersebut mendapat sambutan hangat dan menjadi antara detik paling mencuri perhatian sepanjang acara.
Gadis Melayu Terakhir turut menandakan langkah baharu Amir dalam bidang muzik, dengan karya berkenaan menampilkan Seow Seng Tack, Aziz Harun, Mohsein Kush dan Amir Ahnaf sebagai pencipta serta penulis lirik.
Kemeriahan Watch Party turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon utama dan pembantu Cinta Dalam Sekam, antaranya Siti Khadijah Halim, Haidar Hasanudin, Razak Ahmad, Riz Amin, Husna Mustaffa, Zarynn Min, Mas Anizan, Azhar Amir, Yuna Rahim, Ainina Ahmad B, Aaliyah Natasha, Shryrim Husni dan Lan Siro.
Dalam pada itu, Cinta Dalam Sekam turut mencipta fenomena di media sosial, khususnya Threads, apabila jalan cerita dan perkembangan watak terus menjadi bahan perbualan penonton.
Menjelang episod akhir, kisah membabitkan Laila, Imran dan Shafiq semakin mengundang pelbagai reaksi serta spekulasi dalam kalangan peminat yang tidak sabar mengetahui kesudahan cerita.
Mengambil latar era 1980-an, siri berkenaan diarahkan Feroz Kader, manakala skripnya ditulis Eenaz Mokhtar dan diterbitkan Global Film Station Sdn. Bhd.
Kesemua episod Cinta Dalam Sekam kini boleh distrim secara eksklusif menerusi Viu.
The post Cinta Dalam Sekam kekal No. 1 Viu Malaysia enam minggu appeared first on Utusan Malaysia.






