
BEIJING – Sepasang suami isteri berusia 102 tahun dari Hangzhou, China, mencuri perhatian ramai apabila kisah hidup mereka yang penuh kebetulan manis dan cinta bertahan lebih tujuh dekad tular di media sosial.
Menurut laporan AsiaOne, Yuan Guanjin dan isterinya, Yin Hezhen bukan sahaja sebaya, malah dilahirkan pada hari yang sama, 26 Mac 1924.
Lebih istimewa, pasangan itu sudah mendirikan rumah tangga selama 75 tahun, menjadikan mereka antara contoh ‘cinta sejati’ yang jarang ditemui.
Baru-baru ini, sesi fotografi keluarga pada 19 Januari lalu membuatkan mereka sekali lagi menjadi bualan warga maya. Gambar memaparkan kedua-duanya dikelilingi beberapa generasi ahli keluarga, manakala Hezhen tampil anggun berbaju putih lengkap perhiasan kepala pengantin sambil memegang sejambak bunga.
Dari pelari pecut ke ketua keluarga besar
Laporan South China Morning Post menyebut, Guanjin ketika muda pernah muncul juara larian di daerahnya walaupun hanya sempat bersekolah selama lima tahun.
Pada 1950, dia diperkenalkan kepada Hezhen, gadis kampung sebelah daripada keluarga petani berada dan sering dipuji kerana kecantikannya.
Selepas berkahwin, pasangan itu mengusahakan ladang sendiri sambil membesarkan lima anak, yang kini berusia antara 59 hingga 72 tahun.
Kini, keluarga mereka terus berkembang dengan kehadiran dua cicit lelaki dan tiga cicit perempuan, malah yang sulung sudah berusia 17 tahun.
Pendek kata, rumah mereka memang ‘meriah tahap reunion raya tiap masa’.
Rahsia panjang umur? Makan ikut selera saja
Dalam temu bual bersama Hangzhou Daily, anak bongsu mereka, Yuan Yaqin hanya ketawa apabila ditanya tentang rahsia umur panjang ibu bapanya.
Katanya, tiada petua pelik atau suplemen mahal.
“Bapa saya suka makanan manis, jadi saya selalu tambah gula lebih sedikit semasa memasak.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia mengamalkan diet sayur-sayuran, terutamanya sayur-sayuran hijau, lobak putih dan produk kacang soya serta sekali-sekala makan ikan,” katanya.
Hezhen pula sebaliknya gemar makan daging dan pada usia mudanya mampu minum tujuh hingga lapan unit alkohol sehari.
Walaupun gaya hidup mereka nampak sederhana dan santai, pasangan ini masih sihat dan aktif sehingga usia lebih satu abad.
Kadang-kadang, rahsia sebenar mungkin bukan ubat mahal atau diet ketat, tapi hidup tenang… dan ada pasangan setia yang kekal di sisi sampai hujung nyawa. – The Malaysian Update
The post Lahir Hari Sama, Kahwin 75 Tahun — Cinta 102 Tahun Pasangan Warga Emas, Bukti Cinta Sejati Masih Wujud appeared first on The Malaysian Update.

