
Kota Kinabalu: Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (Safa), Datuk Shahelmey Yahya berharap negeri ini akan terus melahirkan lebih ramai pemain bola sepak wanita yang berkaliber.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian karnival bola sepak Piala Datin Seri Juliah Salag di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini pada petang Jumaat lalu. Sebanyak 17 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan dua hari itu yang diadakan di padang Sukma bermula Sabtu.
“Saya difahamkan tujuan kejohanan yang julung kali diadakan ini adalah untuk mencari bakat baharu dan melahirkan lebih ramai pemain wanita bagi mewakili negeri kita dan pasukan kebangsaan.
“Dengan usaha pencarian ini, saya berharap kita dapat meningkatkan lagi kualiti pasukan kita untuk mempertahankan kejuaraan Liga Wanita Kebangsaan hujung tahun ini serta meraih pingat emas pada temasya Sukma Sarawak pada Ogos ini.
SPONSORED CONTENT Sabah International Convention Centre’s Big Sabah Sale a big hit Kota Kinabalu: The Sabah International Convention Centre’s (SICC) Big Sabah Sale which concluded on Sunday saw a good response with about 20,000 visitors during the three-day extravaganza. . Read more “Saya juga ingin menyeru semua persatuan bola sepak daerah agar mengambil inisiatif dan menganjurkan kejohanan tempatan bagi memastikan kita tidak ketandusan pemain wanita yang berbakat,” kata Timbalan Ketua Menteri itu.
Beliau turut memuji pasukan wanita negeri atas kemenangan mereka di Liga Wanita Kebangsaan tahun lalu dan yakin jawatankuasa bola sepak wanita pimpinan Muhd Arziz Afizy Rumsani akan terus membawa lebih kejayaan.
“Sebagai presiden Persatuan Bolasepak Sabah, saya amat berbangga dengan perkembangan dan pencapaian pasukan bola sepak wanita kita yang telah mencipta sejarah dengan memenangi kejuaraan Liga Wanita Kebangsaan 2023 yang julung kali diadakan.
“Selain itu, pasukan bola sepak wanita bawah 15 tahun kita juga berjaya meraih tempat ketiga dalam liga.
“Kejayaan mereka membuktikan kualiti pemain dan pengurusan kita. Saya ingin mengucapkan tahniah dan pada masa yang sama menghargai perjuangan dan pengorbanan mereka untuk mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan. Terima kasih juga kepada Sekolah Sukan Malaysia Sabah atas kerjasama yang baik dalam membentuk pasukan dengan pemain berusia 15 tahun bagi mewakili negeri.
“Memang bukan mudah untuk menguruskan sesebuah pasukan, tetapi saya yakin dengan jawatankuasa yang diketuai oleh Muhd Arziz Afizy, kita mampu melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” tambahnya.
Sementara itu, Datin Seri Juliah yang merupakan isteri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor turut menyampaikan insentif pada majlis itu kepada pemain dan pegawai pasukan wanita negeri serta kepada tiga bekas pemain antarabangsa wanita, Beatrice Yaw, Laini Ahing dan Haineh Liem atas sumbangan mereka kepada sukan itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

