
KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa memastikan satu siasatan bebas, telus dan menyeluruh dijalankan, susulan laporan insiden di Penjara Taiping oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, kebenaran perlu ditegakkan dan keadilan harus diberi kepada semua mangsa terlibat.
Menurut beliau, dapatan SUHAKAM itu jelas amat membimbangkan dan ia tidak boleh dilihat sebagai kes salah laku biasa kerana melibatkan unsur kekerasan, penderaan, kecuaian rawatan perubatan serta kemungkinan cubaan melindungi pihak tertentu.
“Sekiranya benar berlaku penyalahgunaan kuasa dan pengabaian terhadap tahanan, maka tindakan tegas mesti diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Rakyat mahu melihat ketelusan dan keadilan, bukannya budaya melindungi kesalahan dalam institusi,” katanya.
Tegas Sivamalar, Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 5 menjamin hak setiap individu terhadap nyawa dan kebebasan diri.
Katanya, setiap tahanan tetap mempunyai hak sebagai manusia dan wajib dilindungi daripada sebarang bentuk kekejaman, penderaan atau layanan tidak berperikemanusiaan.
“Dakwaan melibatkan laporan palsu, kelewatan siasatan serta kegagalan memberi rawatan sewajarnya juga amat serius dan tidak boleh dipandang ringan.
“Kerajaan Madani yang membawa agenda reformasi, keadilan dan tata kelola baik tidak boleh sesekali berkompromi dalam isu melibatkan integriti institusi penguat kuasa,” katanya.
Beliau menarik perhatian, sebarang cubaan menutup kesalahan hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Dalam masa sama jelasnya, harus diakui pelbagai usaha reformasi institusi sedang dilakukan kerajaan ketika ini bagi memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti.
“Selari dengan semangat itu, sudah tiba masanya reformasi melibatkan sistem penjara dan tahanan turut diberikan perhatian serius termasuk aspek pemantauan bebas, kebajikan tahanan, prosedur rawatan perubatan serta pematuhan hak asasi manusia.
“Perkara ini bukan bertujuan menyerang institusi penjara atau anggota penguat kuasa secara keseluruhan kerana majoriti petugas menjalankan tanggungjawab mereka dengan profesional dan penuh integriti,” katanya.
Tambah Sivamalar, mempertahankan nama baik institusi bermaksud keberanian untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
“Malaysia mesti berdiri teguh menolak sebarang bentuk penderaan dalam tahanan serta budaya kebal daripada tindakan undang-undang. Keadilan tidak boleh terhenti di pintu penjara,” katanya. - Getaran, 27 Mei 2026

