Tular Kenderaan 4×4 Didakwa Sengaja Langgar Anjing Jalanan Di Johor, SAFM Tuntut Siasatan Segera

20 May 2026 • 1:07 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Tular Kenderaan 4×4 Didakwa Sengaja Langgar Anjing Jalanan Di Johor, SAFM Tuntut Siasatan Segera

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Tular rakaman kenderaan pacuan empat roda gilis anjing di Johor Bharu

Baru-baru ini tular satu video memaparkan tindakan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa sengaja melanggar seekor anjing di sebuah taman perumahan di Johor Bharu.

Menerusi video tersebut, awalnya kelihatan kereta 4×4 jenis Isuzu D-Max berwarna merah itu dipandu dengan laju sebelum melanggar anjing berkenaan.

Impak pelanggaran menyebabkan anjing terbabit mengerang kesakitan dan berguling di atas jalan.

Pacuan 4×4 berhenti di persimpangan sebelum beredar selepas langgar anjing hingga mati

Dalam video sama, kenderaan itu dilihat berhenti seketika di persimpangan jalan sebelum beredar dari kawasan terbabit.

Dalam hantaran yang tular itu memaklumkan insiden dipercayai berlaku di Ulu Tiram, Johor Bharu sekitar jam 11.24 pagi pada 15 Mei lalu.

Dakwa pemilik video, Brandy Yap kenderaan 4×4 yang melanggar anjing berkenaan sehingga mati adalah ejen subkontraktor Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kami sudah menghubungi pihak Majlis Bandaraya Johor Bharu bagi mendapatkan maklum balas berhubung isu berkenaan. Namun setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi.

SAFM tuntut siasatan segara dibuat susulan tular video anjing dilanggar oleh kenderaan 4×4

Dalam pada itu Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) memandang serius berhubung video tersebut dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk kekejaman, kecuaian atau tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap haiwan.

“SAFM menggesa pihak berkuasa untuk segera mengesahkan faktar sebenar, mengenal pasti pemandu, pemilik kenderaan serta mana-mana pihak yang bertanggungjawab pada masa kejadian.

“SAFM menuntut siasatan segera, telus dan menyeluruh oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Johor, Polis Diraja Malaysia, dan Majlis Bandaraya Johor Bharu (MBJB). Sekiranya terdapat unsur kesengajaan, kecuaian serius atau pelanggaran undang-undang, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Selain itu pihak SAFM turut menuntut beberapa perkara seperti:

  • Siasatan segera di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan undang-undang berkaitan.
  • Pengenalpastian pemandu, pemilik kenderaan dan pihak yang mengarahkan atau membenarkan penggunaan kenderaan tersebut pada masa kejadian.
  • Penjelasan rasmi sama ada kenderaan atau individu tersebut mempunyai kaitan dengan mana-mana kontraktor, subkontraktor, ejen atau operasi pihak berkuasa tempatan (PBT).
  • Pemeliharaan semua bukti termasuk rakaman dashcam, CCTV, kenyataan saksi, rekod tugasan, rekod kenderaan dan rekod kontraktor.
  • Penggantungan sementara sebarang tugas kawalan haiwan yang berkaitan sementara siasatan dijalankan, sekiranya kaitan rasmi disahkan.
  • Maklum balas awam yang telus daripada pihak berkuasa mengenai status siasatana dan tidakan yang telah diambil.

Pihak SAFM turut menegaskan haiwan jalanan bukanlah objek yang boleh diperlakukan dengan sesuka hati.

Malah sebarang operasi kawalan haiwan wajib dilakukan secara sah, berprosedur serta berperikemanusiaan.

“Kawalan haiwan tidak boleh menjadi alasan untuk kekejaman. Kekejaman terhadap haiwan adalah jenayah. Haiwan jalanan juga bernyawa. Keadilan untuk ajing Ulu Tiram.”