Laluan air sempit, parit tersumbat punca banjir berulang di Taman Seri Serdang

6 Nov 2026 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Laluan air sempit, parit tersumbat punca banjir berulang di Taman Seri Serdang

SHAH ALAM, 6 NOV: Dua kelemahan sistem saliran dikenal pasti antara punca banjir kembali melanda Taman Seri Serdang selepas kawasan itu sekian lama bebas daripada bencana berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi berkata hasil tinjauan mendapati laluan air pada tembok penghadang parit utama terlalu kecil dan tidak mencukupi, menyebabkan aliran air keluar perlahan ketika hujan lebat.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan air melimpah ke kawasan sekitar termasuk kediaman penduduk apabila kapasiti aliran tidak mampu menampung taburan hujan tinggi.

“Ada satu projek penaiktarafan tembok dan juga penghadang kepada satu parit utama di kawasan situ yang masih dalam pelaksanaan. Lubang untuk akses air itu kecil dan kurang.

“Jadi, menyebabkan bila taburan hujan tinggi, air nak akses ke parit utama itu agak lambat, menyebabkan air itu melimpah ke kawasan lain termasuk kawasan rumah,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Abbas berkata kelemahan kedua membabitkan beberapa parit yang sudah lama tidak diselenggara dengan baik, selain terdapat batu besar yang menghalang aliran air dalam parit utama.

Susulan itu, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera membersihkan parit serta menambah baik reka bentuk tembok penghadang bagi menyediakan lebih banyak laluan air.

“Saya minta pegawai JPS yang hadir bersama saya mengambil tindakan segera membersihkan parit yang sudah lama tak diselenggara. Yang kedua, buat reka bentuk semula supaya tembok tadi ini ada banyak akses untuk air masuk ke parit utama,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kejadian banjir bukan berpunca daripada kelemahan infrastruktur semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi taburan hujan tinggi serta sikap masyarakat membuang sampah ke dalam parit dan longkang.

Mengimbas situasi sebelum ini, Abbas berkata Taman Seri Serdang pernah menjadi antara kawasan tumpuan banjir sebelum masalah itu berjaya diatasi menerusi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kuyoh serta langkah susulan JPS dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Beliau mengakui terkejut menerima aduan banjir pada awal minggu lalu sehingga mendorongnya turun padang, selain mengarahkan ahli majlis dan ketua kampung di kawasan DUN Seri Serdang memantau parit serta longkang bagi mengelakkan kejadian tersumbat berulang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved