![Image from: [VIDEO] Denai Alam, TTDI, PJ, dilanda banjir kilat petang ini](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-02-at-15.51.45-1024x766.jpeg)
PETALING JAYA – Hujan lebat yang melanda sekitar Lembah Klang petang ini menyebabkan beberapa laluan dinaiki air sehingga mencetuskan banjir kilat di beberapa kawasan.
Tinjauan menerusi media sosial mendapati pengguna jalan raya berkongsi rakaman dan gambar keadaan air yang semakin tinggi antaranya di Denai Alam, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Bukit Jalil, USJ serta Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Amcorp Mall.
Beberapa rakaman turut menunjukkan kenderaan terpaksa meredah air, manakala keadaan hujan lebat menyebabkan jarak penglihatan pemandu terhad.
Di Denai Alam, pengguna Threads @iskandarsukandar berkata beberapa pengguna jalan raya terpaksa berpatah balik berikutan keadaan laluan di kawasan itu.
“Apa jadi kat Denai Alam? Semua orang patah balik lawan arus. Denai Alam banjir ke?” katanya menerusi hantaran di Threads.
Seorang lagi pengguna, @kiti.ss yang turut menandakan lokasi Denai Alam, memaklumkan pengguna jalan raya yang mahu memasuki kawasan itu dari arah Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) terpaksa berpatah balik.
“Lepas je dari lampu isyarat nak masuk Denai dari DASH ni kena patah balik ya. Hati-hati semua,” katanya.
Sementara itu, @afiff_15 turut berkongsi rakaman keadaan jalan dinaiki air dari arah Johawaki menuju ke Caltex Denai Alam.
Keadaan sama turut dilaporkan berlaku di TTDI apabila pengguna @frssya__ berkongsi gambar beberapa kenderaan meredah jalan yang dinaiki air.
Di Bukit Jalil pula, pengguna @cik_kiyut memaklumkan keadaan jalan mula dinaiki air ketika dalam perjalanan menghala ke Puchong.
“Jalan dah mula dinaiki air. Semoga dipermudahkan segala urusan semua dan selamat sampai destinasi amin. Bukit Jalil dalam perjalanan ke Puchong,” katanya.
Dalam pada itu, hujan lebat berserta angin kencang turut dilaporkan berlaku di USJ 9.
Pengguna @nasilemakanggerik berkata, keadaan angin ketika hujan lebat itu begitu kuat sehingga dapat dirasai ketika berada di dalam kenderaan.
“Hujan lebat dgn angin ribut. Duk dalam kereta rasa macam nak melambung dibuatnya. Hati-hati semua. Depan Rosyam mart, USJ 9,” katanya.
Keadaan air turut dilaporkan meningkat di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Amcorp Mall apabila pengguna @slmanfrish berkongsi rakaman kenderaan melalui laluan yang dipenuhi air.
“Lebuh Raya Persekutuan depan Amcorp Mall dah naik air,” katanya.– KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Denai Alam, TTDI, PJ, dilanda banjir kilat petang ini appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] 92 rumah terjejas, tiga mangsa dipindahkan di Kampung Melayu Subang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-02-at-20.09.35-e1793621656322.jpeg)
![[VIDEO] Air naik paras paha di Lebuh Raya Guthrie](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-02-at-19.39.13-1024x759.jpeg)
