
PETALING JAYA – Rata-rata kakitangan awam dan swasta berkongsi rasa perit menunggu gaji pada bulan ini yang disifatkan seolah-olah lambat tiba, meskipun berbaki 48 jam lagi sebelum dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.
Seorang pengguna aplikasi Threads berseloroh sama ada gaji yang akan diterima mengambil masa 75 hari kerana sudah terlalu lama menunggu.
“Assalam, bulan ini gaji 75 hari bulan ke? Tunggu buka puasa pun tak lama macam ni,” katanya.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai maklum balas daripada netizen yang berkongsi situasi sama menjelang hari gaji pada bulan ini.
“Aku duduk bilik sewa, tapi disebabkan gaji 75 hari bulan, aku balik rumah mak sebab tiada duit makan,” balas seorang pengguna Threads.
“Aku ada buah pinggang nak tolak (jual), tapi sebelah sajalah sebab sebelah lagi aku nak guna sementara menunggu 75 hari bulan,” gurau Nowyoutellme.
Seorang lagi pengguna Threads Angeladryyy pula mengajak penjawat awam supaya terus bersabar menunggu gaji yang akan dikreditkan dalam masa terdekat.
“Penjawat awam kepada penjawat awam, 48 jam lagi sebelum menuju kejayaan (gaji). Bertabahlah,” katanya.
Pemilik akaun Beruang_gondrong pula meninggalkan komen seloroh mengenai wang kertas RM1.
“Waktu beginilah berguna duit RM1 yang terselit mana-mana. Tak bayar pakai MAE (aplikasi Maybank) dah,” katanya.
“Sumpah bulan ini terasa lama, padahal bulan ini terpaling penat,” balas Fiezah Nurul. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Lamanya tunggu, gaji 75 hari bulan ke?’ appeared first on Kosmo Online.



