
PETALING JAYA –Lambaian terakhir juruterbang bersama empat petugas kesihatan kepada penduduk, beberapa detik sebelum helikopter dinaiki terhempas di STOLport Long Lellang, Miri, Sarawak, kelmarin, menjadi kenangan yang mengundang sebak.
Tiada siapa menyangka, isyarat perpisahan yang pada awalnya dianggap rutin itu menjadi lambaian terakhir mereka sebagai wira negara yang mengabdikan hidup demi memberikan khidmat kesihatan terbaik kepada masyarakat di pedalaman Sarawak.
Helikopter itu diterbangkan oleh Kapten Zainol Afiq yang membawa empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu doktor, Dr. Ainul Baraah Kamarudin, Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Seorang pengguna di Threads dikenali sebagai Nanadofficials telah berkongsi rakaman video itu yang memaparkan helikopter yang mereka naiki dilihat berlepas dari satu kawasan pedalaman selepas selesai memberi perkhidmatan perubatan.
“Video ini dirakam sebelum berlaku kejadian tidak diingini, ketika ini semuanya masih seperti biasa, siapa sangka selepas tu semuanya berubah,” katanya.
Seorang lagi individu dikenali Matnoriahche pula berkata, dia menangis melihat video itu.
“Rupa-rupanya lambaian terakhir, berehatlah di syurga Allah duhai pejuang-pejuang rakyat. Semoga tabah keluarga yang ditinggalkan,” katanya.
Di Kota Bharu, Rogayah Mohd. Noor, 69, ibu kepada Dr. Ainul Baraah berkata, wajah anak keempat daripada lima beradik itu kelihatan manis dan berseri ketika pulang ke kampung bercuti seminggu bersama suaminya, minggu lalu.
“Dia seperti sangat gembira apabila pulang ke kampung bersama suaminya yang bekerja sebagai guru di Miri.
“Saya tidak sangka tragedi melibatkan helikopter yang dinaikinya itu terhempas hanya selepas beberapa hari kami berpisah,” katanya
Sementara itu, bapa Dr. Ainul Baraah telah membawa barangan peribadi milik anaknya untuk dijadikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesan jenazah mangsa.
Bapa saudaranya, Mohd. Sapri Salleh, 65, berkata, abangnya, Kamarudin, 69, menerima panggilan telefon daripada pihak berkuasa kira-kira pukul 10 malam kelmarin, memintanya membawa barangan peribadi anaknya itu ke Sarawak.
“Kira-kira pukul 10.30 malam tadi (kelmarin), abang dan keluarga terus bergerak ke rumah besannya di Bangi, Selangor sebelum ke Sarawak pagi ini (semalam),” katanya.
Dalam pada itu, isteri kepada Alexson pula masih menaruh harapan agar suaminya dapat ditemukan selamat.
“Saya cuba untuk kuat tetapi saya tidak mampu. Saya masih berharap kepada keajaiban, semoga ada sinar untuk suami dan pasukannya,” katanya menerusi beberapa hantaran di Threads menggunakan nama @stephanieessah.
Lebih meruntun hati apabila anak perempuan mereka yang berusia lima tahun turut bertanya bila bapanya akan pulang.
Semalam Kosmo! melaporkan, sebuah helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF yang dikendalikan Layang-Layang Aerospace terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Miri, kira-kira 929 kilometer dari Kuching petang kelmarin.
Penerbangan itu merupakan perkhidmatan doktor udara (FDS) yang dilaksanakan di Sarawak sejak 1973 bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan terpencil dan sukar diakses.
FDS bukan sahaja menyediakan rawatan kepada penduduk, malah penghantaran ubat-ubatan dan vaksin serta misi evakuasi perubatan bagi pesakit kritikal.
The post Lambaian terakhir wira negara appeared first on Kosmo Online.






