
PETALING JAYA – Tindakan murni seorang kanak-kanak lelaki yang mengutamakan ibadah solat berbanding bergegas keluar rumah untuk ke sekolah meskipun sudah lewat menyentuh hati pengguna media sosial.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh pengguna @Irhamelias87, dia menceritakan pengalamannya anaknya yang terlambat bangun tidur dan tetap mendirikan solat terlebih dahulu sebelum keluar dari rumah.
“Pagi ni dia terbangun lewat, lepas siap-siap kami tunggu lama di luar dan pelik kenapa dia tak keluar lagi. Saya pun panggil dia bagitahu dah lambat ni pukul 8 dah,” katanya pada hantaran tersebut.
Namun, respon yang diberi oleh anak lelakinya itu secara tidak langsung memberi peringatan dan nasihat kepadanya mengenai keutamaan sebenar dalam kehidupan.
“Tak apa babah, lambat sikit pun tak apa. Yang penting kita solat dulu,” kata anak kecil itu kepada bapanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji tindakan kanak-kanak itu yang dianggap sangat bertanggungjawab dan matang walaupun masih kecil.
“Alhamdulillah, bagusnya awak adik. Pandai ya awak tahu wajib untuk solat subuh dulu sebelum mulakan sesuatu. Tahniah,” ujar pengguna @Suzanacupcake.
“Kadang-kadang macam itu lah cara Allah nak tegur kita melalui anak-anak. Bagus dik, yang baik-baik mesti datangnya dari hasil didikan ibu bapa dia juga,” tambah pengguna @Ainanasiha.
“Matangnya cara awak jawab dik. Semoga membesar jadi anak yang soleh ya,” kata pengguna @Shida1802 pula. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post ‘Lambat sikit tak apa, yang penting kita solat dulu’ appeared first on Kosmo Digital.



![[VIDEO] ‘Solat subuh dulu, baru masuk kelas’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-03-at-11.53.49-AM-1024x768.jpeg)


