Langgar hingga melambung, lelaki didakwa bunuh penunggang motosikal

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 10:58 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
R Saktygaanapathy dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di sini, tiba di Mahkamah Klang hari ini bagi menghadapi pertuduhan.

KLANG - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang tular dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal melambung dan terjatuh di atas sebuah kereta, didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, masing-masing satu pertuduhan membunuh dan kes dadah.

R Saktygaanapathy, 28, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan kes bunuh dibacakan di hadapan Majistret, A Karthiyayini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, di sini pada jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Dalam pada itu, dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan memberikan dirinya dadah disyaki jenis benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang di sini pada jam 3.30 petang tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, hadir selaku peguam pemerhati.

Semasa prosiding, Raja Zaizul Faridah berkata, pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh bagi kedua-dua kes.

“Disebabkan tertuduh mengaku bersalah atas kes dadah, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk laporan patologi dan fakta kes.

“Bagaimanapun, saya tidak menawarkan jaminan kerana dia masih berdepan kes bunuh yang mana ia termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin,” katanya.

Selepas mendengar perkara itu, Karthiyayini tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 3 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada Ahad, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di lokasi kejadian.

Akibat pelanggaran itu, mangsa, lelaki tempatan itu tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Justeru, seorang lelaki ditahan dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal dibuat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.