
LAHAD DATU: Polis menembak mati seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai pengedar dadah selepas dia merempuh dua anggota polis dalam cubaan mengelak ditahan di tepi jalan Jalan POIC Fasa 2, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah, ACP Rohan Shah Ahmad dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melancarkan ‘Op Tapis’ kira-kira jam 11.45 pagi sebaik menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah.
Katanya, ketika mengarahkan suspek memberhentikan Perodua Viva yang dipandunya, suspek tiba-tiba mengundurkan keretanya secara agresif dan melanggar salah seorang anggota pasukan itu.
“Suspek kemudian membuat pusingan U sebelum memecut melawan arus dan melanggar seorang lagi anggota pasukan yang cuba menghalangnya.
“Bagaimanapun, anggota polis berkenaan sempat melepaskan satu das
tembakan ke arah kenderaan itu bagi
mempertahankan diri sebelum dilanggar suspek,” katanya.
Menurut Rohan, suspek kemudian memecut untuk mengelak ditahan tetapi dilihat terbabas kira-kira 400 meter dari tempat kejadian.
Rohan berkata, pemeriksaan kemudian mendapati suspek tidak sedarkan diri dan terbaring di tempat duduk penumpang sebelah kiri. Suspek disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang datang ke tempat kejadian.
“Suspek dikenal pasti sebagai lelaki tempatan dan menganggur. Semakan ke atas suspek mendapati dia mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah narkotik dan komersial.
“Polis turut merampas dadah seberat 7.45 gram dipercayai syabu bernilai RM1,490, dua pedang Samurai dan sebuah Perodua Viva,” katanya.
Rohan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti berkaitan dadah supaya tindakan segera dapat diambil.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
